am@hmetro.com.my
Seremban: Semua institusi pendidikan lslam di bawah seliaan dan kawal selia Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) diarahkan tutup bermula esok susulan situasi jerebu yang melanda negara.
JHEAINS dalam kenyataannya berkata, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu.
“Semua institusi pendidikan lslam di bawah seliaan dan kawal selia JHEAINS yang berada di kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober.
“Arahan ini membabitkan sekolah menengah agama negeri, sekolah agama swasta, maahad tahfiz, institusi pengajian pondok, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas AI-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Kelas Agama Petang (KAP) di premis Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Katanya, semua institusi pendidikan Islam yang terjejas hendaklah melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PPR) melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru bagi memastikan kesinambungan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Bagi murid institusi tahfiz dan pondok yang memilih untuk tidak pulang dan terus menetap di asrama, pihak pengurusan institusi hendaklah memastikan langkah keselamatan dan penjagaan kesihatan dilaksanakan dengan sewajarnya.
“Langkah itu termasuk mengehadkan aktiviti luar bangunan, memastikan pemakaian pelitup muka dan pengambilan air minuman yang mencukupi serta memantau tahap kesihatan dan kebajikan murid,” katanya.
Beliau berkata, semua pentadbir institusi pendidikan Islam hendaklah memastikan pelaksanaan arahan ini berjalan dengan teratur serta memberikan pemakluman yang jelas kepada ibu bapa dan penjaga.
“Pihak pengurusan institusi juga hendaklah sentiasa peka terhadap perkembangan semasa keadaan jerebu dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarya dan bertanggungjawab atas keselamatan dan kesihatan murid.
“Guru sekolah menengah agama negeri dan guru KAFA lantikan JHEAINS juga dibenarkan untuk bekerja dari rumah (BDR),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




