Nahas 3 beranak: Rempuh lori berhenti di bahu jalan punca kemalangan

Nahas 3 beranak: Rempuh lori berhenti di bahu jalan punca kemalangan

am@hmetro.com.my

Tanjong Karang: Lori berhenti di bahu kiri jalan akibat tayar pecah dipercayai menjadi punca rempuhan kenderaan pelbagai guna (MPV) mengorbankan tiga beranak diBukit Talang, Jalan Raja Musa, di sini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Norawalysa Mat Talpi, 44, dan dua anaknya, Auni Syazana Suhaimi, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi, lapan tahun.

Seorang lagi anak mangsa, Ahmad Syah Fitri Suhaimi, 10, cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 2.39 petang.

“Siasatan awal mendapati nahas berlaku jam 1.30 petang ketika pemandu MPV Proton Exora memandu dari arah Bestari Jaya menghala ke Tanjong Karang.

“MPV itu melanggar bahagian belakang lori yang sedang berhenti di bahu kiri jalan berpunca tayar tengahnya pecah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Azaharudin berkata, impak kemalangan mengakibatkan tiga mangsa iaitu pemandu wanita berusia 44 tahun dan dua penumpang iaitu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera parah.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala seorang lagi penumpang cedera. Semua mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top