Jerebu: Sekolah agama seliaan JAIS diarah tutup

Jerebu: Sekolah agama seliaan JAIS diarah tutup

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Semua sekolah agama di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah tutup sepenuhnya mulai esok susulan masalah jerebu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memberitahu, penutupan semua sekolah agama itu dilaksanakan selaras dengan kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.

“Sekolah Islam Persendirian yang berdaftar dengan JAIS disarankan mengikuti ketetapan ini. Susulan itu, sekolah berkaitan hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

“Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengumumkan semua sekolah di lima negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor serta seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup esok, susulan keadaan jerebu bertambah buruk.

Katanya, penutupan itu turut membabitkan sekolah di daerah Rompin, Pahang manakala sekolah di negeri dan wilayah lain beroperasi seperti biasa mengikut takwim persekolahan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai penutupan sekolah agama berkenaan, Mohd Shahzihan turut meminta ibu bapa dan penjaga mengikuti perkembangan serta makluman rasmi jabatan dari semasa ke semasa, khususnya berhubung tarikh pembukaan semula sekolah.

Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian mengenai pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JAIS.

Dalam pada itu, pihak sekolah diminta terus memantau keadaan semasa serta mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sepanjang tempoh penutupan.

Semua Unit Pendidikan Islam (UPI) Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) turut diminta memastikan makluman berkenaan disampaikan kepada semua sekolah, guru, AKP, ibu bapa, penjaga dan murid di daerah masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top