ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong tetap memasang tekad untuk beraksi di Seluruh England meskipun masih bergelut dengan tiga kecederaan pada lutut kanan.
Wei Chong mendedahkan masalah itu sebenarnya bermula sejak hujung musim lalu ketika kejohanan di Brunei, namun dia dan pasangannya, Tee Kai Wun tetap meneruskan saingan demi memburu mata Jelajah Dunia.
“Tahun lalu sudah mula sakit sikit, tapi sebab nak berjuang di Jelajah Dunia, kita teruskan juga. Lepas kejohanan Januari baru rasa memang tak boleh tahan, jadi pergi buat Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) MRI,” katanya kepada media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Hasil imbasan mendapati dia mengalami koyakan kecil ligamen Cruciate Anterior (ACL), kecederaan meniskus serta chondral, semuanya pada lutut kanan.
“ACL paling kecil. Dua lagi tahap dua. Yang paling serius meniscus,” jelasnya.
Wei Chong memaklumkan dia baru menjalani suntikan Platelet-Rich Plasma (PRP) dua minggu sebelum Tahun Baharu Cina dan kini dalam proses pemulihan.
“Belum pulih sepenuhnya. Memang ambil masa. Dua minggu lepas banyak pemulihan saja, tak banyak berlatih atas gelanggang. Minggu ini baru mula semula,” katanya.
Walaupun belum pulih sepenuhnya, pemain itu tetap optimis untuk ke Birmingham.
“Saya bincang dengan fisio dan doktor. Doktor percaya saya, saya pun percaya diri sendiri. Kalau ada peluang masuk gelanggang, memang akan berikan segala-galanya,” tegas Wei Chong.
Ketika ditanya sama ada penyertaan ke Seluruh England sudah dimuktamadkan, Wei Chong berkata keputusan setakat ini masih positif untuk beraksi.
“Setakat ini masih pergi,” katanya ringkas.
Bagaimanapun, keputusan akhir dijangka dibuat selepas pemeriksaan susulan sebelum berlepas bagi memastikan tiada risiko kecederaan menjadi lebih serius.
Kejohanan berstatus Super 1000 itu akan berlangsung dari 3 hingga 8 Mac depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




