Pelakon terkenal, Remy Ishak tampil mempertahankan maruah penggiat seni susulan dakwaan seorang personaliti media sosial yang menyifatkan kerjaya lakonan sebagai sumber rezeki tidak halal.
Nafi kerjaya seni rezeki tak halal

Menerusi perkongsian di Threads, pemilik nama Mohammad Zalimei Ishak, 43, meluahkan rasa terkilan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh personaliti media sosial dikenali sebagai Tareq Fit itu kerana dianggap memperlekehkan serta menghukum golongan penggiat seni secara umum.
Menurut Remy, sepanjang lebih dua dekad bergiat aktif dalam dunia hiburan, dia tidak pernah menyaksikan rakan-rakan seperjuangan dalam industri bersikap menghina atau menjatuhkan mana-mana individu yang hadir mendapatkan sokongan atau sekadar berinteraksi.

“Sudah lebih 20 tahun saya berada dalam industri persembahan/hiburan, tidak pernah saya melihat walau sekalipun rakan sesama aliran seni ini menghukum, mencaci, mengherdik, menghina sesiapa saja yang telah datang kepada kami.
“Pernah juga yang ‘bukan peminat’ datang untuk bergambar, malah kami layankan juga dengan senyuman,” ciapannya, hari ini.

Dalam hantaran tersebut, Remy turut berkongsi tangkap layar perdebatan melibatkan Tareq dan pelakon Kamal Adli sehingga mencetuskan perbalahan hangat dalam kalangan netizen.
Pelakon itu juga turut mempersoalkan punca sebenar individu tersebut sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu yang dilihat amat membenci golongan industri seni kreatif.

“Tapi.. sejarah hitam apakah yang menghantui hidup sehingga anda membenci golongan industri seni/kreatif ini? Ada ahli keluarga anda yang kena tikam dengan kami ke? Cuba share sebabnya,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Remy Ishak kongsi tips mandi garam, elak aura negatif – “Ilmu ini dapat waktu saya kemurungan”
Sebelum ini, tercetus pertikaian apabila Kamal menasihati Tareq supaya lebih fokus kepada ibadah puasa serta tidak mempertikaikan penghasilan lagu raya oleh pempengaruh yang berperwatakan lembut.
Namun begitu, teguran tersebut dipercayai tidak disambut baik apabila Tareq tampil mempersoalkan kerjaya lakonan Kamal. Malah, dia turut mendakwa pelakon itu memperoleh rezeki dengan cara yang tidak halal kerana terlibat dalam babak bersama wanita yang tidak menutup aurat.
Kontroversi berkenaan terus menjadi bualan hangat di media sosial. Rata-rata netizen dilihat mempertahankan golongan anak seni dan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan itu sebagai melampau.
Sumber: Threads remyishak




