Pernah ‘Depressed’ Tak Dapat Sambutan, Riz Zaizizi Bikin ‘Comeback’ Dengan Lagu Raya ‘Bulan Dah Nampak’

Pernah ‘Depressed’ Tak Dapat Sambutan, Riz Zaizizi Bikin ‘Comeback’ Dengan Lagu Raya ‘Bulan Dah Nampak’

Selepas lebih 10 tahun menghilangkan diri dalam industri hiburan tanah air, penyanyi Riz Zaizi kini kembali mewarnai dunia seni dengan single raya terbaharunya berjudul, ‘Bulan Dah Nampak’.

Mengimbau perjalanan awal karier seni, Riz atau nama lengkapnya, Mohd Idris Mohd Zaizizi, 39, mengaku pernah mengalami depresi apabila kurang mendapat perhatian di awal kemunculannya dahulu.

Namun, kini dia semakin matang untuk menilai bahawa tujuan hidup yang sebenarnya bukanlah hanya bergantung kepada nyanyian sahaja.

“Masa mula-mula dulu masa masih mentah bila kita usaha buat album tapi tak ada penerimaan, masa tu ‘frust’ lah. Macam Gen Z sekarang cakap, depressed lah apa kan. Tapi bila dah makin matang, kita belajar sebenarnya gol hidup bukan menyanyi saja. Ada sesuatu yang Allah suruh kita cari. Jadi saya okay je.

“Sekarang saya buat banyak benda. Saya mengajar, menyanyi, baru seminggu lepas saya lancarkan produk bisnes baharu saya iaitu, penyembur deodoran berasaskan semula jadi, wangian kereta dan makanan retort,” katanya.

Riz berkata demikian ketiak ditemui pada majlis sesi pra-dengar lagu dan muzik video ‘Bulan Dah Nampak’ yang diadakan di Seri Pasific, Kuala Lumpur pada Isnin.

Berkongsi lanjut mengenai lagu raya duet bersama bintang baharu, Acha atau nama penuhnya, Sharafina Adny, 20, Riz berkata, single raya ini mempunyai vibe moden dan klasik yang senang diterima masyarakat.

“Lagu ini senang dinyanyikan dan mudah diingati. Rentaknya ‘catchy’ tidaklah membebankan. Bagi saya yang senang itu  apabila semua orang boleh menyanyi sekali.

“Sejak tahun lepas kita perasan lagu raya sedih sudah jarang didengar. Banyak lagu yang ‘happy-happy’. Jadi tahun ini lagu ‘Bulan Dah Nampak’ dikeluarkan dan moga-moga lagu ini diterima baik, Insya-Allah,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai pekerjaannya sebelum ini iaitu mengajar pengajian makhraj huruf dan cara bacaan mengaji al-Quran, Riz mengakui dia masih menjalankan kerja sebagai guru vokal untuk nyanyian dan vokal untuk bacaan al-Quran secara dalam talian.

“Sekarang ini pelajar saya paling jauh di Australia, ada dari Singapura dan Malaysia.

“Kelas saya terhad waktu malam saja. Saya mengajar membetulkan makhraj huruf dan cara bacaan. Sudah dalam tiga hingga empat tahun jugalah saya mengajar. Semuanya bermula masa Covid-19,” ujarnya.

Sekadar info, Lagu ‘Bulan Dah Nampak’ adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Syed Yahya Syed Othman dan direalisasikan ke peringkat rakaman profesional bersama penerbit ternama, L.Y.

Tema dan lirik ‘Bulan Dah Nampak’ ini juga mengangkat momen nostalgia Hari Raya  yang dekat di hati, seperti debaran melihat anak bulan, tradisi memohon maaf kepada ibu bapa, serta kemeriahan menikmati juadah wajib perayaan.

 

Scroll to Top