ercy.gracella@bh.com.my
Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus aduan berkaitan sekolah, guru, pentadbiran, kemudahan, peperiksaan dan isu pendidikan lain berjaya diselesaikan sehingga Januari lalu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISSPA) Kementerian Pendidikan adalah platform rasmi kementerian untuk mengurus aduan secara sistematik, telus dan berintegriti.
Katanya, melalui pemantauan berpusat, laporan berkala serta analisis data, sistem ini meningkatkan kecekapan penyelesaian aduan di sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kementerian.
“Penggunaan SISPAA membantu KPM menangani isu berulang secara proaktif, termasuk berkaitan prasarana sekolah, komunikasi dengan ibu bapa serta kebajikan guru.
“Pemantauan masa nyata dalam tempoh tiga hari bekerja turut memastikan aduan disalurkan segera kepada bahagian berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Aduan (MJA) yang bersidang 24 kali setahun, aduan tidak lengkap, bersifat peribadi, berunsur tohmahan atau tidak berasas diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Pengurusan SISPAA turut dipantau oleh Biro Pengaduan Awam bagi memastikan tatacara dan prestasi pengendalian aduan sentiasa terjaga,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang memintanya menyatakan keberkesanan SISPAA dalam menangani aduan berkaitan guru, sekolah dan sistem pendidikan serta langkah yang diambil bagi melindungi guru daripada aduan yang tidak wajar, remeh atau disengajakan oleh pihak-pihak tertentu.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM mengambil langkah khusus untuk melindungi guru daripada aduan remeh, tidak wajar atau disengajakan termasuk penapisan awal aduan bagi mengenal pasti unsur yang tidak relevan, pelaksanaan semakan silang bersama sekolah dan PPD.
Selain itu, KPM turut mengadakan sesi libat urus membabitkan semua pihak termasuk pengadu dan guru serta sokongan kaunseling bagi guru yang terkesan secara emosi atau reputasi.
“Di samping itu, pematuhan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga menjadi keutamaan dalam memastikan keadilan sentiasa terpelihara kepada semua pihak.
“Penambahbaikan garis panduan pengurusan aduan akan dibuat dari masa ke semasa secara lebih menyeluruh, termasuk mengambil kira usaha mendidik masyarakat mengenai etika dan saluran aduan yang sewajarnya.
“KPM komited untuk memastikan kebajikan dan perlindungan guru sentiasa diberi keutamaan selaras dengan Akta Pendidikan 1996, agar mereka dapat terus menjalankan amanah mendidik dengan penuh dedikasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



