am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membuat pemeriksaan mengejut di beberapa lokasi penguatkuasaan bagi mengekang sisa e-waste dan plastik dalam tempoh terdekat ini.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki selaku Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara, hari ini.
Amaran dikeluarkan Azam itu bagi memastikan agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab supaya bersiap sedia dengan pemeriksaan mengejut itu.
“Perdana Menteri akan turun padang dalam masa terdekat di lokasi-lokasi kritikal bagi menentukan keberkesanan tindakan penguatkuasaan sedia ada,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 3/2026 yang diterajui oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi; Komander Wildlife Crime Bureau (WCB) PDRM, Datuk Mohd Zaki Ashar; Ketua Pengarah AKPS, Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, Sudirman Aban serta Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Mengulas lanjut, Azam berkata, beliau juga menggesa beberapa agensi kerajaan yang terbabit dalam pengurusan sisa e-waste dan plastik supaya mempertingkatkan kekerapan menjalankan operasi.
Beliau berkata, agensi khususnya Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mengkoordinasikan penguatkuasaan yang lebih efektif dalam menangani isu lambakan kontena bahan buangan itu.
Katanya, tindakan penguatkuasaan yang tegas dan penyelarasan bersepadu antara semua agensi berkaitan adalah amat penting dan kritikal dalam mengekang lambakan sisa e-waste dan plastik.
“Agensi-agensi yang terbabit dalam isu pengimportan haram e-waste perlu bertindak segera dan pantas apabila menerima maklumat berkenaan kegiatan haram pengimportan e-waste serta mempertingkatkan kekerapan menjalankan operasi.
“Menerusi penelitian data dan statistik terkini yang diperoleh, kita akan mengesyorkan beberapa langkah komprehensif dalam aspek dasar, penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa bagi menangani krisis ini secara holistik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azam berkata, semua agensi berwajib harus menetapkan pegawai bertanggungjawab di setiap agensi sewaktu tindakan koordinasi penguatkuasaan dilaksanakan.
“Kita syorkan kesemua pegawai yang terbabit haruslah bertugas di tempat kejadian.
“Malah AKPS dan JKDM digesa menggabungkan segala fasiliti dan peralatan yang sedia ada untuk memaksimumkan impak penggunaan kemudahan teknologi yang ada,” katanya.
Sementara itu, Nik Ezanee mendedahkan terdapat sejumlah 818 kontena e-waste yang terdampar di Pelabuhan Klang sejak 2024 dan pendekatan baharu harus digunakan bagi menangani isu ini.
Beliau yang membentangkan hasil dapatan ‘Mesyuarat Koordinasi Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste’ berkata, kesemua dasar dan perundangan berkaitan penyelarasan dan pengurusan sisa e-waste harus diseragamkan dan diperkukuhkan.
“Sisa e-waste harus dimasukkan di bawah ‘Larangan Mutlak di dalam Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) Tahun 2023’.
“Selain itu, disyorkan agar perwakilan kuasa diberikan kepada PDRM untuk Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi penyiasatan kes pengimportan dan pemprosesan e-waste secara haram,” katanya.
Nik Ezanee berkata, tindakan penguatkuasaan dan kawal selia haruslah dipertingkatkan di semua pelabuhan dan kesemua agensi terbabit harus bekerjasama dalam memperkukuh mekanisme kawalan di pintu masuk sempadan.
“Kita tidak boleh menggunakan cara kerja biasa bagi menyelesaikan isu ini. Sebaliknya, cara kerja yang menggunakan pendekatan di luar kebiasaan akan dipraktikkan dalam menangani masalah ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




