Kuala Lumpur: Dalam landskap global yang semakin bersepadu, pelabur berwawasan dan keluarga berorientasikan antarabangsa tidak lagi hanya menumpukan kepada pulangan kewangan semata-mata.
Mereka kini mengutamakan kestabilan jangka panjang, pemeliharaan kekayaan serta kualiti hidup bertaraf dunia untuk generasi akan datang.
Hong Kong, sebagai sebuah bandar global terkemuka, menawarkan semua kelebihan ini melalui Skim Kemasukan Pelaburan Modal Baharu (New Capital Investment Entrant Scheme, New CIES).
Berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 di bawah seliaan Invest Hong Kong, New CIES menyediakan laluan yang jelas kepada pemastautinan Hong Kong bagi pelabur yang layak, di samping akses penuh kepada ekosistem pelaburan yang dinamik dan canggih.
Direka khusus untuk pelabur global dan individu bernilai bersih tinggi, skim ini telah dipertingkatkan supaya lebih fleksibel dan mesra keluarga melalui penambahbaikan yang diperkenalkan pada 1 Mac 2025.
Pemohon perlu membuktikan pemilikan benefisial mutlak ke atas aset bersih sekurang-kurangnya HK$30 juta (kira-kira RM15 juta), yang dikekalkan selama enam bulan sebelum permohonan.
Sebahagian aset yang dipegang bersama ahli keluarga, di mana pemohon ialah pemilik benefisial, turut boleh diambil kira.
Ini memberikan kelebihan kepada keluarga dalam menyusun strategi pengurusan kekayaan secara lebih teratur dan sistematik.
Selain itu, pemohon dikehendaki membuat pelaburan minimum sebanyak HK$30 juta dalam aset yang dibenarkan, merangkumi saham, bon, skim pelaburan kolektif yang layak serta hartanah.
Satu pembaharuan penting membenarkan pelaburan tersebut dipegang melalui kenderaan pegangan pelaburan milik keluarga (Family-owned Investment Holding Vehicles, FIHVs) atau entiti tujuan khas milik keluarga (Family-owned Special Purpose Entities, FSPEs).
Langkah ini mewujudkan sinergi langsung dengan rejim pengecualian cukai Hong Kong bagi pejabat keluarga, sekali gus mengukuhkan kedudukan bandar ini sebagai hab pengurusan kekayaan global.
Di bawah rejim semasa, pejabat keluarga boleh menikmati pengecualian cukai keuntungan bagi transaksi yang layak, tertakluk kepada pemenuhan ambang aset minimum sebanyak HK$240 juta (kira-kira RM120 juta) atau syarat lain yang ditetapkan.
Lebih signifikan, penubuhan pejabat keluarga secara bersama dalam kalangan ahli keluarga sehingga mencapai ambang aset itu berpotensi membolehkan sehingga lapan ahli keluarga memenuhi keperluan aset bersih bagi permohonan New CIES.
Destinasi perancangan legasi
Keadaan ini meletakkan Hong Kong destinasi strategik untuk perancangan legasi dan pengurusan kekayaan antara generasi.
Bagi meningkatkan lagi daya tarikan skim ini, kerajaan Hong Kong telah melonggarkan keperluan pelaburan hartanah di bawah New CIES selaras dengan Ucapan Dasar 2025.
Ambang harga minimum bagi satu hartanah kediaman telah diturunkan daripada HK$50 juta kepada HK$30 juta, manakala had agregat pelaburan hartanah kediaman dan bukan kediaman yang boleh diambil kira ke arah ambang pelaburan minimum sudah dinaikkan daripada HK$10 juta kepada HK$15 juta.
Dengan kadar cukai hartanah yang kompetitif serta pemandangan ikonik pelabuhan, gunung-ganang dan laut, hartanah kediaman di Hong Kong bukan sahaja berfungsi sebagai instrumen pelaburan.
Malah, berpotensi menjadi kediaman baharu yang ideal bagi individu bernilai bersih tinggi yang mengutamakan privasi, keselamatan dan gaya hidup kosmopolitan.
Sebagai pasaran modal global terkemuka, Hong Kong terus menarik minat pelabur antarabangsa, khususnya melalui ekosistem tawaran awam permulaan (IPO yang aktif dan berdaya saing.
Bandar ini menawarkan pendedahan kepada syarikat serantau dan global berprofil tinggi, kecairan pasaran yang mendalam serta persekitaran kawal selia yang dipercayai.
Bagi pelabur Malaysia, pasaran saham Hong Kong menyediakan peluang strategik untuk memperoleh pendedahan antarabangsa serta akses kepada potensi pertumbuhan serantau dan global yang sejajar dengan matlamat kekayaan jangka panjang.
Namun demikian, Hong Kong jauh melangkaui peranannya sebagai hab kewangan. Bandar ini turut menawarkan pengalaman membeli-belah mewah, perkhidmatan bertaraf antarabangsa dan gastronomi kelas dunia, dengan hampir 80 restoran bertaraf Michelin yang menggabungkan cita rasa Timur dan Barat.
Daripada masakan Kantonis klasik hingga hidangan antarabangsa kontemporari, Hong Kong menawarkan pengalaman kulinari yang pelbagai dan berkualiti tinggi.
Di sebalik latar langitnya yang ikonik, Hong Kong mempunyai hubungan rapat dengan alam semula jadi.
Laluan hijau bermula hanya beberapa minit dari kawasan kediaman, manakala hujung minggu boleh diisi dengan aktiviti belayar di Victoria Harbour, meneroka pulau-pulau sekitar atau bersantai di pantai berpasir putih.
Daripada laluan pendakian di Lantau dan kunjungan ke Patung Buddha Besar sehinggalah suasana santai di Pulau Lamma, bandar ini menggabungkan elemen alam semula jadi dan budaya secara seimbang.
Galeri bertaraf dunia
Pada masa sama, Hong Kong menampilkan tenaga kreatif yang kukuh melalui galeri bertaraf dunia seperti M+ dan Tai Kwun, di samping butik mewah serta restoran eksklusif.
Festival seni antarabangsa, orkestra simfoni dan hab kreatif bandar ini menjadikan Hong Kong sebuah metropolis yang dinamik dan relevan untuk semua generasi.
Keyakinan terhadap Hong Kong ini turut dikongsi oleh Pengerusi Lan Kwai Fong Group, Allan Zeman, yang menyatakan,Hong Kong menawarkan gabungan yang sukar ditandingi bagi keluarga global.
“Ini termasuk akses langsung kepada peluang luas di China dengan pasaran 1.4 bilion pengguna.
Di samping ekosistem pengurusan kekayaan yang canggih dalam rangka kerja perundangan dipercayai, bandar ini juga menyediakan rejim percukaian yang menggalakkan serta kualiti hidup luar biasa dan selamat untuk membesarkan keluarga,”katanya.
Dengan akses mudah kepada khidmat profesional seperti firma guaman, institusi perbankan, syarikat amanah serta pakar imigresen, percukaian dan akauntan bertauliah (CPA), New CIES membuka laluan strategik kepada individu bernilai bersih tinggi untuk menetap di sebuah bandar yang mengintegrasikan pelaburan, pemastautinan dan gaya hidup bertaraf dunia secara lancar dan menyeluruh.
Hong Kong bukan sekadar destinasi pelaburan, tetapi platform menyeluruh untuk membina kehidupan, memelihara legasi dan merancang masa depan merentas generasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




