hafidzul@hmetro.con.my
Kuala Lumpur: Proses pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswarman, Taman Rawang Perdana, Gombak dekat sini, selesai dilaksanakan dalam keadaan harmoni dan terkawal.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kerja pemindahan berkenaan berlangsung bermula jam 9.30 malam sehingga jam 4.12 pagi tadi.
“Seramai 10 penganut dan wakil daripada pihak pengurusan kuil menjalankan sendiri kerja-kerja pemindahan berkenaan. Sebanyak empat patung berhala dialihkan secara teratur sepanjang tempoh berkenaan.
“Pihak pemilik tanah yang sah sudah memulakan kerja-kerja pembersihan tapak kuil sebaik sahaja segala urusan pemindahan selesai dilaksanakan oleh pihak pengurusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi memastikan kelancaran proses berkenaan.
“Sepanjang proses berkenaan berlangsung, tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku serta keadaan dipantau oleh pihak PDRM.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menghormati saluran perundangan dan tidak mengambil tindakan melampau yang boleh menjejaskan keharmonian negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang pertikaian seharusnya diselesaikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik tanah.
“Polis memberikan amaran keras terhadap sebarang cubaan untuk mensabotaj keamanan melalui platform digital.
“Polis juga akan memantau ketat sebarang penularan maklumat di media sosial dan memberi amaran keras terhadap penyebaran kandungan berbaur 3R (Agama, Bangsa, Diraja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, empat lelaki ditahan pada 12 Februari lalu kerana disyaki merobohkan kuil haram tanpa sebarang pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan.
Tangkapan dibuat ke atas empat lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 39 tahun serta rampasan sebuah jengkaut.
Susulan itu Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan untuk membatalkan tahanan reman dua hari yang dikeluarkan oleh Majistret Selayang terhadap supek dan kesemua mereka dibebaskan serta-merta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




