BNM kenakan penalti ke atas 13 pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang

BNM kenakan penalti ke atas 13 pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) antara RM1,500 hingga RM2,000 terhadap 13 pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang (MSB) berikutan kegagalan untuk memenuhi keperluan dana modal minimum antara Julai 2025 hingga Disember 2025.

BNM menyenaraikan Foo In Sdn Bhd; Starling Peak International Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Hijarah Traders Sdn Bhd); Tukaran Baik Sdn Bhd; DB Global Exchange Sdn Bhd, Best Rate Galaxy Sdn Bhd; First Million Avenue Sdn Bhd; Popular Forex Sdn Bhd; Kabir Exchange Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Cendral Sdn Bhd); Mubarak Forex Exchange Sdn Bhd; True Ringgit Sdn Bhd; Alif Money Changer Sdn Bhd; Heng Loong Money Changer Sdn Bhd; dan Chop Soon Sheng Sdn Bhd sebagai 13 pemegang lesen MSB.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata mengekalkan dana modal yang mencukupi adalah sangat penting bagi kesinambungan dan kemampanan perniagaan untuk memenuhi permintaan orang ramai terhadap perkhidmatan MSB.

“Dalam menentukan jumlah AMP, bilangan ketidakpatuhan dan rekod pematuhan terdahulu oleh pemegang lesen MSB telah diambil kira,” kata BNM.

Dalam pada itu, semua 13 pemegang lesen MSB telah membayar AMP masing-masing yang dikenakan oleh BNM dan mengambil langkah pemulihan untuk meningkatkan dana modal mereka.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam pendekatan penguatkuasaan.

“BNM menghendaki semua pemegang lesen untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan pengawalseliaan.

“BNM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan sekiranya mana-mana pemegang lesen yang gagal mematuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top