Warna Rasa angkat keunikan masakan tradisional warisan tempatan

Warna Rasa angkat keunikan masakan tradisional warisan tempatan

Seremban : Royale Chulan Seremban memperkenalkan Buffet Ramadan 2026 bertemakan Warna Rasa yang menampilkan kepelbagaian cita rasa dan warna masakan tradisional warisan tempatan.

Lebih daripada 150 jenis hidangan disajikan sepanjang bulan Ramadan ini, sekali gus menjadikan ia antara buffet Ramadan paling lengkap di Seremban.

Pengurus Besar Royale Chulan Seremban, Abd Halim Md Yusof, berkata tema itu dipilih bagi menggambarkan kepelbagaian budaya, rasa dan keunikan masakan tradisional yang menjadi identiti utama buffet kali ini.

“Tema Warna Rasa melambangkan kepelbagaian cita rasa serta kekayaan masakan tradisional yang penuh warna dan nostalgia. Kami mahu memberi pengalaman berbuka puasa yang bukan sahaja mengenyangkan, malah menggamit memori dan dinikmati bersama insan tersayang,” katanya.

Buffet Ramadan Royale Chulan Seremban mengetengahkan pelbagai lauk-pauk tradisional sebagai tarikan utama, antaranya Rendang Pucuk Ubi, Pecal Warisan Seri Menanti dan Rojak Buahan.

Hidangan utama pula merangkumi Kambing Golek, Oxtail Assam Pedas, Itik Rendang Daun Puding, Daging Masak Lomak Nogori, serta Royale Shellout yang pastinya memikat selera tetamu.

Antara sajian kegemaran ramai ialah sate ayam dan sate daging yang dihidangkan bersama nasi impit, kuah kacang, timun dan bawang, selain sup campur istimewa yang menawarkan pilihan daging batang pinang, tulang rawan, perut lembu dan urat keting lembu.

Bagi melengkapkan pengalaman berbuka puasa, pelbagai pencuci mulut tradisional turut disediakan termasuk buah-buahan potong, Kuih Sopang, Lengkong Santan, agar-agar susu dan puding kelapa, talam gula merah, kuih sagu, kuih kasturi, serawa durian bersama pulut pandan, serta biskut makmur dan kuih bahulu.

Tambahnya lagi, hidangan yang disediakan bersifat universal dan sesuai dinikmati oleh semua kaum dan lapisan masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top