Nasib 7 pemain warisan dijangka diketahui 5 pagi Jumaat

Nasib 7 pemain warisan dijangka diketahui 5 pagi Jumaat

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jumaat ini bakal menjadi hari penentuan buat bola sepak Malaysia apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijangka mengumumkan keputusan rayuan tujuh pemain warisan negara, seawal jam 5 pagi.

Sudah pastinya penggiat sukan dan penyokong bola sepak tanah air menanti dengan penuh debaran, menunggu sama ada tonggak utama skuad kebangsaan akan kembali beraksi atau terus digantung.

Kes ini membabitkan Hector Hevel, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal yang sebelum ini dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Peguam sukan tanah air, Hairul Vaiyron Othman, mengesahkan keputusan Jumaat ini berpotensi menyelesaikan kes, namun hasilnya masih bergantung kepada pertimbangan panel CAS.

“Boleh jadi keputusan ini selesai Jumaat ini. Proses di CAS bukan sahaja bergantung pada fakta kes, tetapi perundingan di antara pihak yang terbabit.

“Semua itu akan menjadi faktor utama yang menentukan sama ada rayuan boleh diterima atau sebaliknya.

“Selain itu, banyak faktor lain yang akan dipertimbangkan panel. Contohnya, sama ada fokus hanya kepada pengurangan hukuman atau perlu mengambil kira bukti dan hujah lain.

“Ia bukan mudah dan boleh memberi kesan besar kepada FAM,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Hairul yang pernah membawa kes ke CAS berkata, proses pendengaran di mahkamah itu adalah gabungan antara pengadilan formal dan rundingan apabila panel boleh mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum mengeluarkan penghakiman.

“Kalau panel setuju untuk fokus kepada pengurangan hukuman sahaja, pihak responden perlu bersetuju.

“Itulah antara kemungkinan yang boleh berlaku. Ia bukan sahaja bergantung kepada bukti semata-mata, tetapi strategi rundingan yang dipilih kedua-dua pihak.

“Mana tahu ada penghakiman persetujuan (consent judgment). CAS ni arbitration (timbang tara), jadi ia bukan sahaja pendengaran formal, tetapi juga rundingan.

“Peluang itu memang ada dan ini akan menentukan apakah hukuman akan dikurangkan atau dikekalkan,” tambahnya lagi.

Kes ini boleh berakhir dengan pelbagai senario termasuk pengurangan hukuman, pengesahan hukuman asal atau penghakiman persetujuan apabila FAM mungkin bersetuju dengan syarat tertentu untuk menamatkan prosiding.

Jika rayuan diterima, tujuh pemain akan kembali beraksi tanpa sebarang isu, memperkuatkan skuad kebangsaan dalam saingan akan datang.

Sebaliknya, jika rayuan ditolak, tempoh penggantungan akan tetap berkuatkuasa, sekali gus memberi kesan besar terhadap persiapan pasukan.

Mengikut rekod, kes ini bermula apabila FIFA mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Malaysia berikutan isu tertentu berkaitan peraturan kelayakan pemain.

Susulan penggantungan itu, FAM segera mengemukakan rayuan ke CAS bagi mendapatkan keputusan yang lebih adil dan memberikan peluang kepada pemain untuk kembali beraksi.

Tujuh pemain berkenaan adalah tonggak skuad kebangsaan dan beraksi di pelbagai kelab domestik dan antarabangsa sebelum penggantungan dikenakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top