
Tilam turut terbakar dalam kejadian pada Ahad. Foto Agensi
JAKARTA – Seorang lelaki berusia 26 tahun dilapor dibakar ‘hidup-hidup’ oleh ibu kandungnya selepas mangsa enggan mematuhi arahan suspek dalam kejadian di Dusun Karya Mulya, Desa Plampang, Kecamatan Plampang pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari waktu tempatan itu, wanita berusia 48 tahun berkenaan dipercayai berang selepas mangsa menolak arahannya untuk mencari rumput bagi memberi makan lembu milik keluarga.
Ketua Polis Sektor (Kapolsek) Plampang, Iptu Joko Wilopo berkata, mangsa ketika itu sedang tidur di bahagian belakang rumah sebelum dibangunkan oleh suspek.
“Suspek menyuruh mangsa mencari rumput untuk lembu peliharaan mereka, namun mangsa enggan. Susulan itu berlaku pertelingkahan antara mereka, suspek kemudian bertindak mengambil botol berisi petrol kemudian menyiram ke badan mangsa,” jelasnya.
Menurut beliau, mangsa yang terkejut cuba membersihkan badan daripada minyak petrol berkenaan, namun suspek didakwa membaling pemetik api sehingga api menyambar tubuh mangsa.
Jeritan mangsa didengari adiknya yang berusia 23 tahun sebelum bergegas ke lokasi dan memadamkan api dengan menyiram air.
Mangsa mengalami kecederaan melecur serius hampir di seluruh badan dan dikejarkan ke pusat kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Manambai Abdulkadir untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, suspek pula dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan berada di Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Plampang di bawah pemantauan petugas perubatan.
Pihak polis turut berkoordinasi dengan Unit Siasatan Jenayah Am, Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Sumbawa bagi tindakan lanjut.
Sehingga berita ini ditulis, keluarga mangsa masih belum membuat laporan rasmi di Balai Polis Plampang berhubung kejadian tersebut.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan saksi serta mengumpul bahan bukti bagi melengkapkan proses perundangan. – Agensi
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berusia 26 tahun dibakar hidup-hidup oleh ibu kandungnya karena menolak mencari rumput
- Insiden itu berlaku di Dusun Karya Mulya, Desa Plampang
- Ibu tersebut menyiram petrol ke badan mangsa kemudian membakarnya
- Adik mangsa berumur 23 tahun memadamkan api tersebut
- Mangsa kini dirawat di Hospital Manambai Abdulkadir, sementara ibu berada di bawah pemantauan di Puskesmas Plampang



