Polis tahan lelaki aktif jual rokok seludup

Polis tahan lelaki aktif jual rokok seludup

TAPAH: Seorang lelaki yang dipercayai aktif menjual rokok seludup sejak tiga tahun lalu ditahan bersama 102 karton rokok disyaki tidak bercukai dalam operasi di Jalan Sungkai, Taman Aman dekat Bidor, di sini kelmarin.

Suspek berusia 52 tahun itu ditahan di lokasi berkenaan oleh sepasukan anggota Cawangan Risikan/Task Force Batalion 3, Bidor kira-kira pukul 8.15 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara itu ditahan selepas kenderaan tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut menemukan pelbagai jenis rokok disyaki seludup yang keseluruhannya berjumlah 102 karton.

“Turut dirampas sebuah kereta Proton Iswara dan satu unit kunci kereta. Nilai keseluruhan rampasan masih dalam proses penilaian,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki dan menjual rokok seludup di mana dia dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, suspek mendakwa mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki tempatan setiap minggu sebelum mengedarkannya kepada peniaga-peniaga kecil di kawasan sekitar.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dan rangkaian pengedaran rokok disyaki seludup itu.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 2 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tambah beliau, sampel barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis.

“Polis Kontinjen Perak akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai di negeri ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti penjualan atau pengedaran rokok tidak bercukai dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top