Kelantan pandang serius isu LGBT, pertukaran jantina

Kelantan pandang serius isu LGBT, pertukaran jantina

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan memandang serius isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) terutama membabitkan pertukaran jantina.

Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi melakukan pemeriksaan jantina terhadap individu yang disyaki.

Katanya, ketika operasi yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), ia akan meliputi keseluruhan aspek bukannya melihat kepada luaran sahaja seperti berpakaian seperti lelaki atau seperti wanita.

“Kita mengambil serius isu ini kerana ia perlu diberi penekanan oleh kerajaan negeri. Ada kes yang sudah didakwa berkaitan tukar jantina dan ada kes didakwa berpakaian seperti wanita.

“Banyak kes sudah dibuka selain mereka juga dipanggil untuk beri nasihat. Ada juga dalam kalangan mereka berdegil apabila dipanggil sehingga melantik peguam, itu kita agak kesal.

“Namun, ramai juga yang insaf dan kembali ke pangkal jalan sehingga mampu membaca al-Quran semula,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu ditanya ada dakwaan mengatakan ramai lelaki di Kelantan menukar jantina kepada wanita, Mohd Asri berkata, sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan berkenaan namun tiada angka yang didedahkan.

“Saya tidak boleh sahkan perkara ini namun sekiranya benar, kita kesal kerana kenapa mereka boleh bertindak sejauh itu dan tidak sepatutnya terjebak sehingga tahap berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) mengesahkan individu pertama didakwa di Mahkamah Syariah Kota Bharu bulan lalu, bagi kesalahan menukar jantina.

Individu atau atau ‘mak nyah’ berusia 30-an itu didakwa pertengahan bulan lalu selepas beberapa hari operasi dilakukan JAHEAIK membabitkan kumpulan transgender.

Sumber JAHEAIK berkata, pendakwaan pertama individu yang berasal dari Kelantan itu membabitkan kesalahan mengubah jantina mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, sejak undang-undang itu diwartakan pada 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top