khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penganalisis berpandangan terdapat dua pilihan yang ada selepas penarikan sokongan UMNO Negeri Sembilan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkait krisis melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan di negeri itu.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pilihan pertama, utama dan terbaik yang ada adalah dengan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Pilihan yang ada sekarang, Menteri Besar menghadap Yang di-Pertuan Besar untuk bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Kemudian laksanakan pilihan raya negeri. Itu yang pertama.
“Pilihan kedua yang ada adalah kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tapi agak mustahil perkara itu berlaku kerana UMNO dengan PN sekarang bukannya mudah untuk mereka bekerjasama.
“Ini kerana tidak ada kerjasama di peringkat nasional, jadi hendak diterjemah peringkat negeri itu payah untuk Negeri Sembilan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pilihan yang ada selepas UMNO Negeri Sembilan menarik balik sokongannya terhadap Aminuddin susulan krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan di negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Aminuddin.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berpandangan, tidak ada calon lain daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang setanding bagi menggantikan Aminuddin sebagai Menteri Besar baharu.
“Aminuddin adalah Naib Presiden PKR. Jadi, siapa lagi daripada PKR yang setanding dengannya? Tak ada tokoh atau calon lain nak diketengahkan oleh PKR.
“Cuba bagi dua tiga nama. Tak jumpa yang setanding dengan Aminuddin. Kalau ada, mestilah setanding dengan Aminuddin kerana beliau bukan sahaja ada peranan di peringkat negeri, tetapi juga di PKR pusat.
“Jalan lain nak menggantikan Menteri Besar tanpa buat pilihan raya sudah tidak ada melainkan pilihan raya sahaja,” katanya.
Beliau dalam masa sama berkata, BN juga tidak akan memberikan ruang kepada PN bagi mencalonkan Menteri Besar sekiranya kedua-dua parti itu bergabung bagi membentuk kerajaan negeri.
“Saya lihat BN takkan bagi ruang kepada PN untuk calonkan Menteri Besar. Takkanlah jumlah yang kecil (kerusi) ada pada PN akan jadi Menteri Besar di Negeri Sembilan. Ia berbeza dengan apa yang berlaku di Perak,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, tindakan Jalaluddin yang membuat sidang media khas menarik balik sokongan terhadap Aminuddin juga telah mendapat restu atau persetujuan daripada UMNO Pusat.
Menurutnya, ini disebabkan UMNO Negeri Sembilan tidak akan melakukan tindakan seumpama itu tanpa kebenaran dan restu daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“UMNO Negeri Sembilan tidak akan buat tindakan tanpa kebenaran atau tanpa merujuk kepada UMNO Pusat. Ini bermakna Presiden mestilah restu, takkanlah Jalaluddin berani tarik sokongan seperti itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




