Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mewartakan sebanyak 18 jenis hasil hutan kecil utama yang perlu dibayar cukai mengikut kadar ditetapkan sebelum dipindahkan dari hutan simpan kekal di negeri ini.
Antara hasil hutan berkenaan ialah seperti damar, buluh, rotan, bahan batuan, buah-buahan hutan, gaharu, herba, madu, kayu palma, minyak, getah, daun, rami dan tunggul kayu.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JPNP, Mohd Mustakim Semail berkata, setiap jenis hasil hutan kecil tersenarai pecahan mengikut spesies sebagai contoh tunggul kayu yang dibahagikan tunggul pokok Merbau, Chengal, Balau dan getah.
Menurutnya, setiap jenis hasil hutan kecil berbeza dari segi harga cukai yang perlu dibayar oleh pihak yang ingin mengambil seterusnya bertindak memindah keluar dari hutan simpan kekal di negeri ini.
Katanya, siasatan dilakukan mendapati masih ramai yang tidak mengetahui mereka perlu membayar cukai setiap kali membawa keluar hasil hutan kecil. Mereka mendakwa cukai hanya perlu dibayar sekiranya bertindak memindahkan kayu balak.
“Bayaran cukai memindah turut perlu dibayar sekiranya hasil hutan kecil itu dikeluarkan dari hutan tanah kerajaan dan tanah milik. Kadar cukai ditetapkan mengikut jumlah, saiz, berat, spesies dan harga pasaran semasa.
“Sebagai contoh mereka yang terbabit dengan aktiviti mengambil madu lebah juga tidak terkecuali perlu membayar cukai mengikut berat madu iaitu RM1 sekilogram (kg), mereka juga perlu memiliki permit memasuki hutan simpan,” katanya, dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mengambil pokok nibung yang banyak terdapat di Pekan, Rompin dan Kuantan perlu membayar cukai RM2 sebatang. Selain itu atap nipah, pucuk, atap rumbia, kajang dan kubing juga perlu dibayar cukai mengikut nilai jualan semasa.
Mohd Mustakim menambah, pihaknya sentiasa berusaha memberi penerangan kepada masyarakat berhubung cukai hasil hutan kecil yang masih kurang diberi perhatian oleh mereka yang terbabit aktiviti memindahkan hasil hutan.
Katanya, pasukan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Timur dan Barat termasuk Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah sentiasa melakukan rondaan kawasan panas dan laluan tikus dalam usaha mengesan mereka yang terbabit dengan aktiviti mengambil hasil hutan.
“Mereka yang bersalah boleh didakwa Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, sabit kesalahan didenda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Jabatan kini berusaha memberi penerangan kepada masyarakat yang terbabit dengan aktiviti memindahkan hasil hutan kecil. Kita ingin memastikan golongan terbabit tidak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Awal bulan ini UTK Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentongmengesan premis yang menyimpan lebih 5.71 tan damar tanpa cukai bernilai lebih RM200,000 disimpan di Kawasan Perindustrian Benus, Bentong.
Turut dirampas dua guni kemenyan proses seberat 53 kilogram (kg),18 batang kayu arang dan 17 batang kayu damar minyak pelbagai saiz. Ketika serbuan dilakukan terdapat seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun dalam premis berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




