Ronaldo pamer gaya sambutan gol baharu ala ‘slam dunk’

Ronaldo pamer gaya sambutan gol baharu ala ‘slam dunk’
Ronaldo pamer gaya sambutan gol baharu ala ‘slam dunk’

Ronaldo meraikan jaringannya dengan gaya sambutan baharu.

BINTANG sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo semakin menghampiri impian menjaringkan 1,000 gol dalam karier apabila terus menambah koleksi jaringan bersama Al Nassr dalam saingan Liga Pro Saudi pada Rabu.

Ronaldo mencetak satu gol dalam kemenangan bergaya 5-0 ke atas Al Najma SC, namun tumpuan lebih terarah kepada gaya sambutan gol baharu yang dipamerkannya.

Penyerang berusia 41 tahun itu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi sepakan penalti. Dengan penuh keyakinan, beliau memperdayakan penjaga gol lawan untuk meletakkan pasukannya di hadapan.

Namun, berbeza daripada sambutan ikonik ‘siuuu’, Ronaldo mengejutkan peminat apabila melakukan gaya seperti ‘slam dunk’ bola keranjang.

Aksi tersebut pantas tular di media sosial dan mencuri perhatian ramai, sekali lagi membuktikan beliau masih mampu mencetuskan fenomena.

Aksi di Stadium Al Najma jelas dikuasai sepenuhnya oleh pendahulu liga tersebut. Selepas gol awal Ronaldo, Al Nassr terus mengawal permainan.

Kingsley Coman menggandakan kelebihan pada minit ke-31 sebelum pertahanan, Iñigo Martínez menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-42.

Sadio Mane menambah jaringan keempat pada minit ke-52 hasil hantaran Ronaldo, manakala Martínez melengkapkan dua gol peribadi pada minit ke-80 bagi menutup malam gemilang buat pelawat.

Al Najma yang sekadar mengumpul lapan mata musim ini tidak berupaya memberi tentangan sebaliknya lebih tertumpu mengelakkan kekalahan lebih besar.

Gol terbaharu itu menjadikan jumlah rasmi jaringan karier Ronaldo kini mencecah 965 gol, hanya 35 gol lagi untuk mencapai angka bersejarah 1,000 gol. Setakat musim ini, dia sudah meledak 21 gol dalam 21 perlawanan liga dan kekal dalam perebutan penjaring terbanyak.

Ronaldo kini hanya dua gol di belakang pendahulu carta jaringan, Ivan Toney.

Kemenangan tersebut membolehkan Al Nassr terus mendahului liga dengan 58 mata, dua mata di hadapan Al Ahli dan tiga mata mengatasi Al Hilal.

Dengan 11 perlawanan masih berbaki, persaingan kejuaraan dijangka terus sengit dan Al Nassr pastinya memasang impian untuk menamatkan musim ini dengan trofi liga.

Ringkasan AI

  • Cristiano Ronaldo semakin dekat dengan impian menjaringkan 1,000 gol dalam karier
  • Ronaldo mencetak satu gol dalam kemenangan Al Nassr 5-0 ke atas Al Najma SC
  • Gol itu dijaringkan melalui sepakan penalti pada minit ketujuh
  • Ronaldo menampilkan sambutan gol seperti ‘slam dunk’ bola keranjang
  • Jumlah rasmi jaringan karier Ronaldo kini adalah 965 gol
Scroll to Top