Melaka: Polis menahan empat warga Myanmar bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun yang disyaki diabaikan sehingga mendatangkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, semua suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita warga Myanmar termasuk ibu mangsa yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan di dua lokasi, iaitu di Jalan Melati, Banda Hilir dan Pulau Melaka antara jam 1.30 tengah hari hingga 6 petang semalam.
“Polis menerima laporan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia setahun disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira jam 4 petang pada Rabu yang dibuat seorang doktor di hospital itu.
“Pada awalnya ibu mangsa mendakwa anaknya meninggal dunia akibat sawan, namun hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd




