PETALING JAYA: Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) telah mengesahkan Kerangka Serantau mengenai Pengkomputeran Awan Rentas Sempadan, sebuah inisiatif strategik yang diterajui oleh Kementerian Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pengesahan tersebut dilakukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) ke-6 di Hanoi, Vietnam, bertujuan membolehkan aliran data yang lancar dan dipercayai merentas negara anggota bagi menyokong integrasi digital serantau.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerangka itu direka untuk memberikan kejelasan kawal selia yang lebih besar, meningkatkan piawaian tadbir urus data serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital serantau yang sedang berkembang pesat.
“Kerangka serantau ini mengimbangi aspek perlindungan data, kepastian undang-undang dan inovasi perniagaan. Ia mengukuhkan keyakinan pelabur merentas bidang kuasa sambil menyokong pertumbuhan perdagangan digital dan perkhidmatan digital rentas sempadan.
“Inisiatif ini juga tepat pada masanya memandangkan ekosistem pusat data dan pengkomputeran awan Malaysia terus berkembang, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab serantau untuk AI dan pengkomputeran awan,” katanya dalam kenyataan.
Kerangka tersebut memperkenalkan prinsip perkongsian tadbir urus data awan, termasuk peraturan jelas mengenai akses kawal selia dan penjajaran dengan piawaian antarabangsa.
Ia turut memperkenalkan konsep Koridor Data Dipercayai (TDC) bagi memudahkan pengehosan dan pemindahan data rentas sempadan secara selamat.
Selain itu, ia menyediakan panduan buat sektor terkawal seperti perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan dalam menggunakan teknologi awan tanpa menjejaskan perlindungan data atau daya tahan operasi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, kerangka tersebut sebagai langkah praktikal untuk mengharmonikan peraturan dan mengurangkan risiko pematuhan bagi syarikat yang beroperasi di seluruh ASEAN.
“Pemecahan kawal selia (regulatory fragmentation) telah lama menjadi cabaran bagi perniagaan. Kerangka ini menawarkan pendekatan untuk mengurangkan geseran tersebut dan membuka peluang pelaburan serta inovasi baharu di semua negara anggota.
“Ia juga menyokong strategi ekonomi digital Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan membolehkan syarikat tempatan berkembang menggunakan infrastruktur digital yang dipercayai selaras dengan objektif AI Nation 2030,” katanya.
Projek ini mendapat khidmat rundingan daripada Asian Business Law Institute (ABLI), yang menyifatkan kerangka tersebut sebagai instrumen dasar komprehensif yang boleh menjadi model kepada wilayah lain di peringkat global. –UTUSAN




