Baru setahun bertudung, Isyariana tak nafi bimbang 'terbuka semula'

Baru setahun bertudung, Isyariana tak nafi bimbang 'terbuka semula'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelakon Isyariana, 36, tidak menafikan wujud kebimbangan dirinya akan membuka tudung, namun sentiasa berdoa agar kekal istiqomah untuk tidak kembali kepada perkara lama.

Pemilik nama sebenar Isyariana Che Azmi ini berkata, dia juga baru setahun memakai tudung sejak Ramadan tahun lalu dan berharap semua pihak dapat menerima penampilan berhijab seadanya.

“Kalau masuk Ramadan ini, baru setahun saya bertudung sejak bulan puasa tahun lepas. Alhamdulillah, tawaran berlakon yang saya terima setakat ini tidak terhad walaupun sekarang sudah memakai tudung.

“Rasanya sekarang tak ada isu bertudung. Saya pun baru habis ‘shooting’ sebanyak 29 episod, dan pihak produksi juga sudah tahu kita bertudung dan beri watak apa yang sesuai untuk saya,” katanya.

Katanya, dia masih bimbang seandainya hatinya berbolak-balik dan menanggalkan tudung lalu sentiasa berdoa kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan.

“Saya minta kepada-Nya tetapkan pendirian sebab saya berhijab kerana Dia. Kalau saya berhijab untuk fesyen, saya tukar niat itu. Kadang-kadang kita dalam dunia ini, kita adalah manusia biasa.

“Ada masa, kita tengok orang pakai macam itu dan macam ini, kita sudah tergoyang iman. Jadi kita sendiri kena selalu ‘aware’ (sedar), bila macam niat kita sudah terpesong, cepat-cepat fikir yang baik-baik semula,” katanya.

Menurut Isyariana, apapun dia selesa tampil dengan gaya bertudung cara sendiri dan seadanya asalkan dapat menutup aurat dengan baik termasuk niat keluar rumah untuk bekerja.

Katanya, sekiranya selalu memikirkan soal fesyen dan melihat cara orang lain memakai tudung, ia pasti hanya mampu bertahan seketika disebabkan rasa kurang keyakinan diri.

Ditanya mengenai godaan apabila bertudung, Isyariana yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 2016 berkata, dia bersyukur tidak menghadapinya kerana mungkin sudah puas berseronok ketika zaman ‘free hair’ dulu.

“Apa pun, saya tidak tahu bagaimana ke depannya nanti. Sekarang ini mungkin saya boleh cakap begini sebab iman kita tengah tinggi, jadi saya yakin untuk bercakap, tapi yang akan datang, saya tidak tahu.

“Saya berharap orang luar dapat mendoakan kami yang berhijab ini, teruskan sampai ke akhir hayat. Tapi, bila ada orang yang terbuka tudung, itu masing-masing punya ujian bagi saya.

“Kita tak boleh nak ‘judge’ (adili). Kita cuma mampu tengok orang kurang sedikit daripada kita, maka kita doakan untuk dia juga dapat lebih,” katanya ditemui di set program Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani di Bazar Ramadan Presint 3, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Isyariana berkata, dia memperlahankan aktiviti seni kerana mahu memberi tumpuan kepada ibadah serta menjalankan perniagaan kecil-kecilan pada Ramadan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top