Kumpulan Bank Dunia labur RM155.6j dalam Zetrix AI

Kumpulan Bank Dunia labur RM155.6j dalam Zetrix AI

PETALING JAYA: Kumpulan Bank Dunia melalui cabang sektor swastanya, International Finance Corporation (IFC) membeli ekuiti dalam Zetrix AI Berhad (Zetrix AI) bernilai RM155.6 juta (AS$40 juta) bagi membina infastruktur digital di negara ini.

Menurut Zetrix AI, pelaburan tersebut bagi menyokong pembangunan dan pelancaran aplikasi Infrastruktur Awam Digital (DPI) berasaskan rantaian blok baharu dan produk yang didayakan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, ia bertujuan untuk meningkatkan rangkuman digital, akses kepada perkhidmatan dan kecekapan ekonomi di Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas.

“Di Malaysia, perkhidmatan baharu ini akan disepadukan dengan ekosistem digital negara melalui MyDigital ID, sistem identiti digital negara dan Infrastruktur Rantaian Blok Malaysia (MBI), rangkaian perkhidmatan rantaian blok kebangsaan negara.

“Aplikasi dan produk DPI Zetrix AI bertujuan untuk menjadikan pelbagai perkhidmatan lebih cekap, selamat dan berkesan kos, termasuk pengesahan ID digital sehingga pendigitalan perdagangan antarabangsa dan tokenisasi aset dunia sebenar.

“Pelaburan ini juga akan menyokong pengembangan perkhidmatan DPI Zetrix AI ke pasaran baru muncul di ASEAN dan seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia untuk Malaysia, Judith Green berkata, pelaburan ini mencerminkan komitmen IFC untuk memajukan agenda transformasi digital Malaysia, selaras dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

“Pembangunan perkhidmatan DPl adalah penting untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh daya saing ekonomi, dan memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Pelaburan seperti ini membolehkan kami meningkatkan penyelesaian digital yang inovatif dan menyokong penciptaan sistem yang berdaya tahan, selamat dan boleh dikendalikan yang meluaskan akses kepada perkhidmatan dan peluang untuk orang ramai dan perniagaan di Malaysia dan pasaran baru muncul di rantau ASEAN yang lebih luas dan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, daripada ID digital kepada pemprosesan pelepasan kastam digital kepada model bahasa yang besar dan stablecoin, kes penggunaan rentas sempadan dunia sebenar dalam rantaian blok dan AI yang syarikat gunakan bertujuan untuk memangkin transformasi disruptif di seluruh ASEAN.

“Ini membolehkan integrasi sosioekonomi yang lebih mendalam di rantau ini. Dengan penyertaan dan akses pasaran daripada IFC, syarikat akan mempercepatkan rancangan pengembangan global kami,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top