TERKINI: Sabar dulu… keputusan kes CAS tujuh pemain warisan sah minggu depan

TERKINI: Sabar dulu… keputusan kes CAS tujuh pemain warisan sah minggu depan

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penantian peminat bola sepak negara mengenai keputusan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijangka berlanjutan sehingga minggu depan selepas panel memerlukan masa untuk membuat pertimbangan.

Perkembangan terbaru itu sekali gus menamatkan spekulasi keputusan kes berprofil tinggi berkenaan akan diketahui dalam masa terdekat seperti dijangkakan sebelum ini.

Berdasarkan maklum balas daripada pihak CAS, panel yang mengendalikan kes berkenaan perlu meneliti secara mendalam segala hujah dan bukti sebelum membuat keputusan muktamad.

Menurut kenyataan itu, tempoh masa tepat bagi keputusan tidak dapat dipastikan, namun keputusan awal tanpa alasan penuh dijangka diumumkan pada minggu depan.

“Susulan sesi pendengaran hari ini, panel akan mengambil masa untuk membuat pertimbangan. Saya tidak dapat memberikan tempoh masa tepat bagi keputusan, namun keputusan awal (tanpa alasan penuh) dijangka diumumkan pada minggu depan.

“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, satu kenyataan media akan dikeluarkan. Saya akan memaklumkan kepada anda sebaik saja ia diterbitkan,” kata pegawai media CAS dikenali sebagai Vanessa.

Kes berkenaan mendapat perhatian meluas kerana membabitkan isu kelayakan pemain warisan yang sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan dan denda oleh badan induk bola sepak dunia.

“Selepas keputusan awal dikeluarkan, keputusan penuh akan disediakan dan akan diserahkan kepada pihak yang terbabit pada suatu masa kemudian.

“Sekiranya pihak berkenan tidak meminta kerahsiaan, keputusan itu akan disiarkan di laman sesawang CAS,” katanya.

Dokumen keputusan penuh itu akan menjelaskan asas pertimbangan panel CAS terhadap rayuan yang dikemukakan.

Bagaimanapun, keputusan penuh berkenaan hanya akan didedahkan kepada umum sekiranya pihak terbabit tidak memohon supaya ia dirahsiakan.

Mengikut rekod, kes ini bermula apabila FIFA mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Malaysia berikutan isu tertentu berkaitan peraturan kelayakan pemain.

Tujuh pemain berkenaan membabitkan Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Susulan penggantungan itu, FAM segera mengemukakan rayuan ke CAS bagi mendapatkan keputusan yang lebih adil dan memberikan peluang kepada pemain untuk kembali beraksi.

Ketujuh-tujuh pemain berkenaan adalah tonggak penting dalam skuad kebangsaan dan beraksi di pelbagai kelab domestik dan antarabangsa sebelum penggantungan dikenakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top