800 anggota Maritim Malaysia, 275 aset digerakkan laksana Op Khas Pagar Laut

800 anggota Maritim Malaysia, 275 aset digerakkan laksana Op Khas Pagar Laut

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Seramai 800 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan bersama 275 aset bagi melaksanakan Op Khas Pagar Laut sempena bulan Ramadan hingga Syawal.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fokus utama operasi itu adalah melakukan rondaaan dan pemantauan 24 jam yang bermula esok hingga 10 April ini terutama ketika musim perayaan.

Katanya, tempoh itu dipercayai risiko jenayah rentas sempadan meningkat.

“Sejak 2016 lagi, operasi ini dilaksanakan sehingga sekarang sudah genap 10 tahun.

“Lazimnya, apabila masuk Ramadan dan Syawal, berdasarkan data yang kita kumpulkan selama ini, kita dapati bahawa risiko jenayah rentas sempadan meningkat.

“Ia kerana kemungkinan mereka (penjenayah rentas sempadan) merasakan bahawa pada tempoh ini penguatkuasaan negara kita tidak ketat, malah sebaliknya,” katanya ketika meninjau persediaan Op Khas Pagar Laut Maritim Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi ini dijalankan dalam empat fasa, iaitu fasa persediaan, fasa penguatkuasaan pra-perayaan, fasa penguatkuasaan semasa perayaan dan fasa pemantauan serta post exercise debrief (PXD).

“Seramai 800 pegawai dan anggota Maritim Malaysia diatur gerak bersama 275 aset terdiri daripada kapal, bot peronda dan pesawat udara bersiap siaga untuk operasi ini.

“Ia bertujuan untuk pemantauan dan rondaan akan dilaksanakan 24 jam,” katanya.

Katanya, pemantauan berterusan ini membolehkan Maritim Malaysia mengenal pasti sebarang kelemahan dalam penguatkuasaan serta menambah baik langkah keselamatan sempadan.

“Tindakan ini diharap memberi kesedaran kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan pada musim perayaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top