Muar: Johor mencatatkan pendaftaran memberangsangkan dan antara yang tertinggi setakat ini membabitkan murid berusia enam tahun bagi sesi kemasukan Tahun Satu pada 2027 di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, selepas dua minggu pendaftaran dibuka, hampir 50,000 permohonan diterima di seluruh negara bagi pendaftaran murid Tahun Satu berusia 6 tahun, dengan Johor muncul antara negeri penyumbang terbesar dan angka itu adalah isyarat positif awal kerana ia sebahagian daripada pelaksanaan RPM yang menetapkan sasaran wajib capai dalam tempoh 10 tahun.
“Apabila Johor menjadi antara negeri tertinggi dari segi pendaftaran, ini menunjukkan ibu bapa bersedia memberi komitmen dan percaya kepada sistem yang sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas Program Jaulah Ramadan Komuniti 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar hari ini.
Fadhlina berkata, tempoh pendaftaran berlangsung hingga 31 Mac namun kementerian akan terus menerima permohonan selepas tarikh itu untuk memberi ruang kepada ibu bapa membuat keputusan.
Beliau juga berkata, kementerian telah membuat unjuran maksimum sehingga 700,000 pendaftaran, dan persiapan rapi sedang dijalankan termasuk prasarana dan pengambilan guru.
“Walaupun persiapan dibuat pada tahap maksimum, perkembangan semasa membolehkan kementerian menyusun perancangan lebih terperinci mengikut negeri dan sekolah berdasarkan pola pendaftaran,” katanya sambil menambah pendaftaran Tahun Satu 2027 bukan sekadar proses rutin sebaliknya sebahagian daripada pelaksanaan RPM yang menekankan peningkatan mutu pendidikan dan pemerkasaan murid.
Fadhlina berkata, Kementerian juga mempergiat pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan (Tekad) sebagai platform penerangan dan libat urus berterusan bagi memastikan mesej dan sasaran RPM difahami secara menyeluruh.
Beliau berkata, proses penerangan dan penglibatan tidak akan terhenti setakat tempoh pendaftaran sahaja sebaliknya diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh sokongan terhadap pelaksanaan dasar.
Mengenai program hari ini, Fadhlina berkata, penganjuran pada tahun ini turut menampilkan sesi penerangan Tekad yang memberi maklumat kepada guru, ibu bapa dan komuniti mengenai teras strategik RPM serta peranan keluarga dalam menjayakan dasar itu.
Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan 2026 diadakan bagi memperkukuh hubungan antara warga kementerian berkenaan dan masyarakat setempat serta menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan yang penuh berkat.
Program itu dirangka dengan menggabungkan elemen kerohanian, kebajikan dan pendidikan untuk memberi manfaat serta impak positif kepada semua pihak yang terlibat, antara objektif utamanya ialah memperjelas mengenai RPM 2026-2035, iaitu pelan hala tuju pendidikan negara bagi membina asas yang kukuh terutama dalam meningkatkan akses pendidikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




