Sabah catat 6,457 mangsa banjir tertinggi, dipindah ke 40 PPS setakat pagi ini

Sabah catat 6,457 mangsa banjir tertinggi, dipindah ke 40 PPS setakat pagi ini

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sabah merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 6,457 orang daripada 2,432 keluarga dipindahkan ke 40 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 44 PPS dibuka di empat negeri membabitkan keseluruhan 6,690 mangsa daripada 2,509 keluarga.

Di Sabah, PPS itu mula diaktifkan pada Rabu lalu dengan enam daerah terjejas, sekali gus menjadikan negeri itu paling teruk terkesan setakat ini.

Di Johor, dua PPS masih beroperasi ketika ini sejak dibuka pada 12 Februari yang membabitkan dua daerah dengan 176 mangsa daripada 49 keluarga.

Perak pula merekodkan 44 mangsa daripada 27 keluarga yang ditempatkan di satu PPS yang dibuka sejak 24 Februari, manakala Sarawak mencatatkan jumlah terendah iaitu 13 mangsa daripada satu keluarga di satu PPS yang dibuka sejak 13 Januari lalu.

Dalam pada itu, Sarawak satu-satunya negeri merekodkan paras air tahap bahaya dengan tiga stesennya iaitu dua di Sibu dan satu di Miri menunjukkan keadaan sedemikian.

Stesen Long Teru, Miri menunjukkan aras air 8.21 meter (m) melebihi tahap bahaya 8m, diikuti stesen Nanga Lemai B dan Stapang B di Sibu merekodkan keadaan sama masing-masing berbanding 4.2m dan 14.26m berbanding tahap bahaya 3.8m dan 14.2m.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top