Elly Mazlein mahu kembali aktif menyanyi demi terus relevan

Elly Mazlein mahu kembali aktif menyanyi demi terus relevan

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Demi memastikan dirinya relevan dalam industri seni, artis versatil, Elly Mazlein memilih untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Elly atau nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, mengakui perjalanan kerjayanya yang merangkumi bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan menuntut dirinya untuk sentiasa aktif dalam industri seni.

“Sebenarnya saya nak kena kekal relevan dalam industri. Sebab saya memang melompat-lompat (bidang) daripada menyanyi, berlakon, mengacara, lepas itu sekarang menyanyi balik.

“Sebagai anak seni, kita kena sentiasa ada dalam industri kalau nak kekal relevan. Saya masih lagi ada tenaga untuk bekerja, jadi mengapa tidak?

“Sekurang-kurangnya saya ada lakukan sesuatu dan kita keluarkan lagu baharu serta karya-karya yang lain,” katanya.

Mengulas mengenai mengapa memilih kembali menyanyi, Elly berkata, hasrat berkenaan sudah lama ada akibat rasa rindu melihat rakan-rakan artis aktif membuat persembahan.

Bagaimanapun, katanya, kekangan jadual kerja yang terlalu padat menjadi faktor utama perancangan berkenaan tertangguh.

“Sebenarnya niat itu dah lama ada sebab bila saya tengok artis-artis lain menyanyi, rasa rindu juga nak menyanyi. Jadi Kak Lina memang dah lama nak kembali menyanyi, tetapi asyik bertangguh.

“Dari Januari sampai Mei, saya memang bekerja tanpa henti, Alhamdulillah.

“Jadi, mula daripada Jun, saya cuti dua bulan iaitu Jun dan Julai. Ketika itu, saya rasa rasa inilah masanya untuk saya cari material baharu untuk lagu baharu Kak Lina,” katanya lagi.

Kata Elly, meskipun dia mengamalkan perancangan rapi dalam setiap langkah kehidupan, dia tetap menyerahkan segala ketentuan rezeki kepada Yang Maha Esa.

“Saya suka berjalan mengikut apa yang ditentukan dan memang dalam hidup kita kena ada perancangan, tetapi separuh lagi saya serah pada Allah sahaja.

“Saya bersyukur dengan apa sahaja rezeki. Sekarang saya rasa sudah sampai masanya untuk ‘cool down’ dan memilih apa yang saya rasa nak buat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top