Pelakon Zara Zya terus bangkit tanpa mengenal erti putus asa biarpun sedang berdepan ujian kesihatan termasuk kanser buah pinggang tahap satu namun masih aktif dalam dunia lakonan yang menjadi minat dan sumber rezekinya.
Mahu fokus kerja

Memetik laporan Harian Metro, pemilik nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia tidak mengambil keputusan untuk berehat, sebaliknya komited menamatkan baki penggambaran drama bersiri 60 episod, Mencari Isteri Sempurna yang disiarkan di Astro Prima sepanjang Ramadan ini.
“Alhamdulillah, selagi Allah SWT beri kudrat untuk bekerja, saya bekerjalah macam biasa untuk mencari rezeki. Sebab bila bekerja kita akan lupakan sakit dan hanya fokus pada kerja.
“Saya memang suka bekerja dan suasana persekitaran di lokasi penggambaran juga sangat positif dan saya seronok bekerja dengan ‘team’ tanpa tekanan. Watak saya dalam drama kali ini pun tak terlalu berat dan saya boleh bawa dengan keadaan kesihatan sekarang,” kata Zara, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut mengenai tahap kesihatannya, Zara memaklumkan dia sentiasa memastikan dirinya menjalani pemeriksaan susulan di hospital dari semasa ke semasa.

“Walaupun sudah menjalani pembedahan membuang kanser kira-kira setahun lalu, apa yang menakutkan saya ialah jika ia datang semula.
“Selalunya, selepas tempoh dua tahun, baru kita boleh buat pemeriksaan semula dengan doktor untuk mengetahui sama ada sudah bebas kanser.
“Selain itu, saya juga ada masalah arthritis, leher dan tulang belakang. Selain rutin pemeriksaan, saya juga makan vitamin, ubat untuk saraf serta ubat tahan sakit,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zara mengakui cabaran lebih terasa ketika menjalani penggambaran sepanjang Ramadan.

“Bila rasa diri sihat dan kuat, saya tak makan ubat sangat kerana tidak mahu bergantung dengan ubat tahan sakit.
“Pengarah dan barisan pelakon di set juga melayan saya sama sahaja. Kalau saya berasa tak okay (tidak sihat) baru saya beritahu produksi, tapi setakat ini, semua okay sahaja,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Sampai bila boleh kuat, saya tiada jawapan hanya berserah pada Allah – Zara Zya
Untuk info, selain Mencari Isteri Sempurna, drama lakonannya berjudul Namamu Cinta untuk platform Tonton turut bersiaran setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan ini.
Sumber: Harian Metro (Ramlah Zainal)




