audreymd@nst.com.my
Georgetown: Dua pendaki lelaki berusia 25 tahun diselamatkan selepas tersesat di dalam hutan berhampiran Taman Bandar Pulau Pinang (Taman Belia) di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.11 petang tadi dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal bergegas ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, SAR turut dibantu tiga anggota Polis Diraja Malaysia.
“Pencarian dilakukan berdasarkan lokasi dikongsi mangsa melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan malam ini.
John berkata, kedua-dua lelaki itu ditemui selamat pada 7.42 malam iaitu kira-kira 2 kilometer dari kaki bukit.
“Mangsa kemudiannya diiringi turun ke kaki bukit dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.50 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




