Kanak-kanak diserang anjing liar, jalani pembedahan lima jam

Kanak-kanak diserang anjing liar, jalani pembedahan lima jam

am@hmetro.com.my

Bachok: Kanak-kanak lelaki terpaksa menjalani pembedahan lima jam semalam selepas cedera parah diserang lima anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, di sini.

Azuar Firdaus Zuraiman, 8, selamat menjalani pembedahan mencuci dan menampal kesan bekas gigitan haiwan itu pada bahagian kepala dan leher.

Bapa mangsa, Zuraiman Mahmod, 47 berkata, dia difahamkan anak kelapan daripada sembilan beradik itu sedang bermain di kawasan pantai berkenaan bersama beberapa saudaranya kira-kira jam 9.00 pagi, Khamis lalu.

Katanya, secara tiba-tiba sekumpulan anjing liar datang dan mengejar mereka menyebabkan anaknya terjatuh serta diserang,

“Anak sempat bangun dan menendang haiwan-haiwan berkenaan sebelum melarikan diri ke arah air… barulah anjing-anjing itu berhenti menyerang.

“Kejadian disedari seorang buruh yang kebetulan berada di kawasan itu dan dia yang membawa anak ke kedai makan kami yang terletak berhampiran pantai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zuraiman berkata, dia sudah lama berniaga makanan di situ dan insiden serangan anjing liar adalah kejadian kedua berlaku dalam tempoh dua tahun.

Menurutnya, sebelum ini seorang nelayan cedera di tangan diserang anjing liar dan dia sama sekali tidak menyangka anaknya akan menjadi salah seorang mangsa.

Katanya, Azuar Firdaus kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pada 1 tengah hari semalam dan sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, tindakan lanjut akan diambil susulan siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top