Nagoya, Jepun: Ketua Olimpik Jepun mengakui jumlah atlet dan pegawai yang hadir ke Sukan Asia jauh lebih ramai daripada jangkaan negara tuan rumah, sekali gus menyebabkan kekurangan tempat penginapan.
Beberapa kontinjen berkata mereka tiba di Aichi-Nagoya hanya untuk mendapati bilik disediakan tidak mencukupi untuk menempatkan semua anggota pasukan.
Penganjur tempatan pada malam sebelum temasya berakhir, berkata mereka menjangkakan kira-kira 15,000 atlet dan pegawai hadir.
Pada masa sama, Majlis Olimpik Asia (OCA) menganggarkan jumlah itu melebihi 17,000 orang.
Ketika ditanya AFP sama ada penganjur benar-benar mengetahui jumlah peserta yang hadir, Presiden Jawatankuasa Olimpik Jepun, Seiko Hashimoto, berkata: “Jumlahnya lebih ramai daripada yang kami jangkakan.
“Memang sukar untuk menempatkan jumlah orang yang jauh lebih ramai dan keadaan itu mungkin menyebabkan beberapa masalah kepada atlet.”
Penganjur tempatan mengambil keputusan untuk tidak membina perkampungan atlet khusus dalam usaha menjimatkan kos.
Sebaliknya, peserta ditempatkan di kontena kayu sementara, sebuah kapal persiaran yang berlabuh di pelabuhan Nagoya serta hotel.
Penganjur Sukan Asia berdepan tuduhan salah urus sejak temasya itu bermula pada 19 September lalu.
Pelbagai masalah pengangkutan atlet berlaku berulang kali, termasuk bas yang gagal muncul atau membawa peserta ke lokasi pertandingan yang salah.
Beberapa kontinjen mendakwa mereka terkandas sehingga enam jam di lapangan terbang selepas tiba di Nagoya.
Walaupun beberapa acara sukan mendapat sambutan menggalakkan, banyak lagi pertandingan termasuk upacara pembukaan – berlangsung di hadapan ribuan tempat duduk yang kosong.
Hashimoto berkata keadaan cuaca, termasuk hujan selama beberapa hari dan ancaman taufan, menjadikan penganjuran temasya itu mencabar pada masa tertentu.
Bagaimanapun, beliau mengakui wujud masalah pengangkutan selain melahirkan kekecewaan terhadap jumlah kehadiran penonton yang rendah bagi beberapa acara sukan.
Katanya, temasya berkenaan memberikan “pengajaran yang sangat berharga” dalam usaha Jepun menganjurkan pertandingan sukan utama pada masa akan datang.
“Kami perlu menganalisis setiap aspek supaya kami dapat melakukan penambahbaikan pada masa depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




