am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Sahronizam Noor, 54, meluahkan rasa syukur tahap kesihatannya akibat kanser tulang belikat tahap kedua berada dalam keadaan baik selepas selesai rawatan radioterapi sebanyak 33 kali yang berakhir pada 8 Februari lalu.
Sahronizam berkata, dia juga terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lebih sebulan setiap hari sepanjang rawatan berkenaan.
“Alhamdulillah, doktor sudah buang tumor itu supaya ia tidak merebak cuma akarnya mungkin masih ada.
“Saya juga sudah selesai radioterapi lebih kurang 20 hingga 30 minit satu sesi selama lebih sebulan. Pada minggu kedua radioterapi, nampak kesan terbakar dan masuk minggu ketiga hinggalah selesai, kulit mula mengelupas.
“Selepas dua hingga tiga minggu selesai rawatan, kesan hitam dan terbakar masih ada dan kena tunggu kulit baru pula akan keluar,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata Sahronizam, berat badannya hanya susut kira-kira satu kilogram sahaja.
“Selera makan dan minum juga macam biasa sebab saya ada makan ubat dibekalkan doktor untuk naikkan berat badan.
“Jika berat badan menurun pun akan menjejaskan kesihatan kerana secara tak langsung kita punya imun sistem dan kekuatan tubuh sudah berkurangan. Jadi, sepanjang radioterapi, saya memang jaga perkara itu,” kata suami kepada pelakon dan penyanyi Safura Ya’cob itu.
Ditanya rawatan alternatif pula, kata Sahronizam, ada rakan yang mencadangkan padanya perkara itu.
“Doktor tidak beri kebenaran untuk saya buat rawatan alternatif buat masa ini. Saya juga mahu tengok keputusan selepas radioterapi dan rawatan susulan pada April nanti.
“Kalau saya mahu buat rawatan alternatif pun mungkin selepas dapat keputusan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada 1 April dan pemeriksaan susulan dengan pakar ortopedik pada 6 April,” katanya.
Berkongsi aktiviti Ramadan pula, kata Sahronizam, dia juga dapat menjalani ibadah puasa sepanjang tempoh seminggu ini.
“Saya belum ada tinggal puasa lagi. Cuma solat tarawih, baru dapat buat sekali kerana tidak mampu buat sampai 20 rakaat kerana sakit datang semula.
“Pada masa sama, saya juga masih lagi menghabiskan baki penggambaran drama bersiri 60 episod berjudul Mencari Isteri Sempurna sepanjang Ramadan ini.
“Selepas disahkan kanser tahap dua, ada juga produksi yang tanya dari segi watak tapi saya cakap okay saja dan tidak memilih. Tapi produksi pun faham dan tidak buat babak aksi yang membabitkan banyak aspek fizikal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




