Pelakon Trisha Ooi tampil menjelaskan kontroversi babak intim bersama Aidil Aziz dalam drama Sujud Terakhir Encik Norman yang menerima kecaman hebat netizen.
Memetik mStar Online, Trisha menegaskan adegan berkenaan tidak keterlaluan seperti diperkatakan dan dilakukan mengikut kehendak skrip semata-mata dan ia diluar kawalannya jika babak tersebut ditayangkan di bulan Ramadan.
“Kami tidak berniat untuk melebih-lebih dalam adegan tersebut. Tambahan pula, watak saya dalam drama itu memakai tudung dan kami cuba menggambarkan perkara yang bersesuaian dengan karakter tersebut.
“Saya hanya menerima skrip dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelakon. Soal bila babak itu ditayangkan, proses suntingan dan sebagainya bukan berada dalam bidang kuasa saya,” katanya.
Sementara itu, Trisha berkata adegan tersebut tidak berlaku secara realiti, sebaliknya menggunakan teknik kamera bagi menggambarkan situasi tersebut.
“Babak kerusi yang dijatuhkan itu hanyalah ‘foreshadow’ atau simbolik sebagai petanda kepada situasi berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Trisha berkata dia terbuka dengan teguran diberikan serta berharap penonton mendapat pengajaran melalui drama berkenaan.
“Bagi saya sesuatu babak atau karakter itu, semuanya adalah sebahagian daripada usaha untuk menjayakan sesebuah naskhah agar dapat ditonton dan difahami penonton.
“Sudah tentu kita mahu ada pengajaran yang boleh diambil oleh semua pihak, bukan sahaja pelakon atau netizen, tetapi semua yang menonton. Jika melihat kepada keseluruhan cerita, ia masih belum ditayangkan sepenuhnya dan baharu sehingga episod lapan.
“Babak tersebut hanyalah sebahagian daripada penceritaan untuk menyampaikan mesej sebenar drama itu. Itu pandangan saya,” katanya.
Sumber: mStar Online




