PETALING JAYA: IOI Properties Group Bhd. (IOI Properties) mencatatkan peningkatan untung bersih lebih tujuh kali ganda bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, dipacu oleh keuntungan nilai saksama hartanah pelaburan serta pengukuhan operasi di Singapura.
Untung bersih bagi suku berkenaan melonjak kepada RM708.84 juta berbanding RM94.78 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala hasil syarikat melonjak 42.8 peratus kepada RM1.04 bilion.
Kumpulan itu berkata, prestasi luar biasa itu didorong oleh keuntungan nilai saksama sebanyak RM567.1 juta dan sumbangan daripada pemilikan penuh Scottsdale Properties Pte. Ltd.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, untung bersih kumpulan mencecah RM1.37 bilion berbanding RM163.95 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 41.8 peratus kepada RM2.01 bilion.
“Segmen pembangunan hartanah merekodkan aliran pendapatan baharu daripada jualan W Residence bermula Oktober 2025, selain prestasi jualan yang bertambah baik di Malaysia dan China.
“Sehingga kini, kumpulan telah mencapai RM1 bilion jualan hartanah, iaitu separuh daripada sasaran RM2 bilion bagi tahun ini. Projek tempatan menyumbang 80 peratus daripada jualan, diikuti China (14 peratus) dan Singapura (6 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, segmen pelaburan hartanah serta hospitaliti dan masa lapang turut menunjukkan pertumbuhan kukuh hasil sumbangan aset baharu, termasuk operasi Sheraton Grand yang bermula Mac 2025 dan sumbangan lebih tinggi daripada JW Marriott Singapore South Beach.
Mengenai prospek masa hadapan, IOI Properties berkata, keyakinan untuk mengekalkan prestasi cemerlang bagi baki tahun kewangan 2026 berdasarkan kadar penghunian yang tinggi dan sumbangan stabil daripada aset-aset utama.
Bagaimanapun, tiada dividen diisytiharkan bagi suku tersebut.
Saham IOI Properties ditutup rendah 12 sen pada RM3.45 semalam, memberikan nilai pasaran kumpulan sebanyak RM19 bilion. –UTUSAN




