Anggota polis maut digilis lori

Anggota polis maut digilis lori

suharmin.yusud@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis berusia 34 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Cheras, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 tengah hari ketika mangsa sedang bergerak dalam aliran trafik sesak dari arah Taman Midah menghala ke Taman Connaught.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.06 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah lori jenis Sinotruk Howo dan turut dipercayai terlibat sebuah lagi kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

“Mangsa adalah seorang anggota polis lelaki berbangsa Melayu berusia 34 tahun yang bertugas di Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Zamzuri berkata, ketika kejadian, mangsa sedang bergerak lurus dalam keadaan aliran trafik sesak dan dipercayai mencelah di antara dua lorong kenderaan.

“Sebuah kenderaan di hadapan telah membrek secara mengejut menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal sebelum terjatuh dan termasuk ke bawah sebuah lori yang sedang bergerak di lorong kiri.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz,” katanya.

Katanya, pemandu lori adalah seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 45 tahun dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan saringan air kencing akan dijalankan manakala ujian alkohol (mabuk) didapati negatif,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top