Bangkai anak gajah ditanam ikut SOP, ibu sudah dipindahkan ke tempat selamat

Bangkai anak gajah ditanam ikut SOP, ibu sudah dipindahkan ke tempat selamat

am@hmetro.com.my

Mersing: Ibu gajah yang ditemui setia berada berhampiran bangkai anaknya selepas kemalangan di sini semalam sudah dipindahkan ke kawasan lebih selamat, manakala bangkai anak gajah itu ditanam mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menerima laporan kejadian pada jam 8.30 pagi semalam sebelum menggerakkan anggotanya ke lokasi bagi menjalankan siasatan dan tindakan susulan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati anak gajah betina yang dianggarkan berusia lima tahun itu mati di lokasi kejadian, manakala seekor gajah dewasa yang dipercayai ibunya masih berada berhampiran.

“Kumpulan gajah tersebut dikenal pasti daripada ID Jamaluang-Mersing.

“Bagi memastikan keselamatan awam serta kebajikan hidupan liar berkenaan, Unit Tangkapan Gajah daripada Pusat Santuari Gajah Johor (JES) bersama pihak PERHILITAN telah mengambil tindakan mengalihkan ibu gajah tersebut ke kawasan yang lebih selamat.

“Bangkai anak gajah pula telah diuruskan dan ditanam mengikut prosedur ditetapkan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan PERHILITAN Johor, Pusat Santuari Gajah Johor (JES), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua agensi yang terlibat atas tindakan pantas dan profesional dalam menguruskan kejadian ini,” katanya melalui kenyataan di Facebook miliknya.

Ling berkata, pemantauan dan rondaan akan terus dilaksanakan oleh PERHILITAN Daerah Mersing sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk setempat serta mengelakkan kejadian berulang.

“Dalam masa yang sama, saya menyeru pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan yang berdekatan dengan habitat hidupan liar, khususnya pada waktu malam dan di laluan yang dikenal pasti mempunyai pergerakan haiwan liar.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan, manakala ibunya enggan berganjak selama tujuh jam di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi semalam.

Menerusi video tular di media sosial, gajah betina itu kelihatan enggan meninggalkan anaknya yang mati selepas dilanggar sebuah Perodua Bezza dalam kejadian pada 2.28 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top