Gyokeres kunci misi empat trofi Arsenal

Gyokeres kunci misi empat trofi Arsenal

London: Pengurus Mikel Arteta yakin penyerang sensasi Viktor Gyokeres mampu memberi impak besar dalam misi empat trofi Arsenal FC musim ini susulan ledakan gol terkininya.

Gyokeres sebelum ini bergelut menyesuaikan diri selepas menyertai Arsenal dari Sporting CP menjelang musim ini.

Namun, dua gol ketika membenam seteru London, Tottenham Hotspur 4-1 hujung minggu lalu menyaksikan bintang Sweden itu kini meledak lapan gol dalam semua kejohanan sepanjang 2026.

Dengan 10 jaringan liga musim ini, Gyokeres sudah mengatasi jumlah tertinggi yang diraih mana-mana pemain Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Prestasi meyakinkan itu hadir tepat pada masanya ketika Arsenal mendahului carta EPL dan turut bersaing dalam tiga lagi kejohanan utama.

Arteta percaya penyerang berusia 27 tahun itu masih ada ruang untuk meningkat seiring proses menyesuaikan diri dengan rentak EPL serta keserasian bersama rakan sepasukan.

“Kami tahu kualitinya. Dia adalah penyerang luar biasa. Kami perlu manfaatkan kelebihannya dan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik. Saya rasa kami berada di landasan tepat,” kata Arteta.

Arsenal bakal menerima kunjungan seteru setempat, Chelsea FC awal pagi Isnin dalam usaha mengekalkan kelebihan lima mata di puncak EPL.

Manakala Manchester City berpeluang merapatkan jurang kepada dua mata sekiranya menewaskan Leeds United, awal pagi esok.

The Gunners baru menyingkirkan Chelsea pada separuh akhir Piala Liga, namun Arteta menegaskan keputusan itu tidak memberi sebarang kelebihan menjelang aksi minggu ini.

Dalam saingan Eropah, Arsenal mara ke kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) dan bakal berdepan wakil Jerman, Bayer Leverkusen berdasarkan undian terbaru.

Selain memburu kejuaraan EPL, Arsenal turut mara ke final Piala Liga menentang Manchester City serta pusingan kelima Piala FA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top