Johannesburg: Pemain golf Itali, Andrea Pavan berdepan tempoh pemulihan panjang selepas menjalani pembedahan belakang dan bahu susulan terjatuh ke dalam ruang lif sebelum saingan Terbuka Afrika Selatan di Stellenbosch minggu ini.
Insiden luar jangka itu berlaku Rabu lalu apabila pintu lif di penginapan persendirian dibuka, namun kabin lif tiada di aras berkenaan menyebabkan Pavan terjatuh beberapa tingkat.
Pavan, 36, yang pernah meraih dua gelaran Jelajah Eropah, dikejarkan ke hospital tempatan dengan kecederaan serius termasuk patah beberapa tulang belakang serta kerosakan teruk pada bahu.
“Saya menjalani pembedahan bahu dan belakang pada Rabu malam dan kini sedang pulih di hospital,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Jelajah Eropah, Jumaat lalu.
“Saya ada banyak sesi rehabilitasi dan kerja keras menanti.”
Pavan turut mengucapkan terima kasih kepada peminat atas mesej sokongan yang diterima dan menyifatkan rawatan serta bantuan di hospital sebagai amat luar biasa.
“Dua hari lalu agak sukar, tetapi saya berada dalam jagaan yang sangat baik. Ramai pemain, kedi dan pegawai datang melawat serta menghubungi saya, ia amat bermakna,” katanya.
Menurut bekas rakan sepasukan, Matt van Zandt, Pavan dijangka kekal di Afrika Selatan untuk tempoh beberapa minggu sebelum dibenarkan pulang ke Amerika Syarikat. Satu tabung bantuan turut diwujudkan bagi menampung kos perubatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




