London: Pengendali Manchester United, Michael Carrick menolak desakan supaya Benjamin Sesko diturunkan dalam kesebelasan utama meskipun penyerang itu mempamerkan aksi berbisa setiap kali masuk sebagai pemain gantian.
Sesko tidak beraksi dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak meledak dua gol ketika seri 2-2 menentang Burnley FC bulan lalu ketika pasukan dikendalikan pengurus sementara, Darren Fletcher.
Penyerang Slovenia itu, yang dibeli dengan nilai awal €76.5 juta (RM395 juta), menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan terakhir sebagai pemain gantian.
“Saya lihat situasi ini sebagai sesuatu yang sangat positif. Ia bukan keputusan yang saya anggap negatif,” kata Carrick menjelang aksi menentang Crystal Palace FC, esok malam.
United mengekalkan rekod tanpa kalah sejak Carrick mengambil alih tugas dengan lima kemenangan dan satu seri dalam EPL, sekali gus melonjak ke tangga keempat.
Carrick turut menjelaskan pemilihan kesebelasan utama yang hampir sama dalam beberapa aksi terakhir adalah usaha mengekalkan momentum kemenangan, selain memastikan keharmonian skuad.
“Ia cabaran dalam menguruskan kumpulan. Keputusan yang diraih sangat positif dan kami mahu teruskan rentak ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Carrick berharap kapten berpengalaman Harry Maguire kekal bersama pasukan walaupun kontraknya berbaki setahun.
Beliau menegaskan kehadiran pemain seperti Maguire penting sebagai pemimpin di bilik persalinan, terutama dengan pemergian Casemiro pada penghujung musim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




