KUANTAN: Kertas siasatan berhubung seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam sudah pun diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek masih dalam tahanan reman dan memberikan kerjasama baik sepanjang proses siasatan dijalankan.
“Kita sudah pun melengkapkan kertas siasatan dan kini menunggu arahan seterusnya daripada pihak pendakwaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP) Kuantan di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, setakat malam tadi, pihaknya sudah menerima 28 laporan polis di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
“Saya mohon kepada masyarakat untuk menunggu tindakan selanjutnya. Pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya dalam kes ini,” katanya.
Rabu lalu, polis menahan seorang penuntut UMPSA untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial. – UTUSAN




