Cukup bermakna

puterialia@hmetro.com.my

Kembali memahat satu lagi tanda aras penting dalam kerjaya seninya, penyanyi Ernie Zakri muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Sejambak Bunga.

Karya terbaharu itu bukan sekadar pertunjukan muzik biasa, sebaliknya ia bagi meraikan pertumbuhan, penerimaan, serta keberanian Ernie untuk terus melangkah ke hadapan.

Single berkenaan dipersembahkan buat julung kali ketika segmen pertunjukan fesyen dinamakan Lerai oleh pereka fesyen terkenal, Zaimi Zulkafli pada pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, baru-baru ini.

Pemilihan pentas berprestij itu kerana ia memiliki signifikan tersendiri memandangkan konsep yang diketengahkan menerusi koleksi fesyen terbabit berkongsi semangat yang sama dengan jiwa lagu Sejambak Bunga.

Pertemuan unik antara seni muzik dan fesyen itu turut memberikan dimensi visual yang lebih segar kepada pelancaran berkenaan.

Jika muzik menjadi medium utama Ernie menyampaikan emosi serta penceritaan, dunia fesyen pula menawarkan bahasa tersendiri dalam menterjemahkan rasa yang sama kepada khalayak.

“Apabila saya memahami konsep Lerai yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui Sejambak Bunga.

“Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita, tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” katanya.

Di sebalik kemeriahan pelancaran terbabit, Sejambak Bunga jelas memperlihatkan sisi Ernie yang jauh lebih reflektif dan matang.

Karya ini mengangkat naratif mengenai bagaimana setiap pengalaman hidup membentuk keperibadian seseorang, di samping menuntut keberanian untuk menerima, belajar, serta terus bergerak ke hadapan.

Menurut Ernie, lagu terbabit membawa erti yang cukup mendalam buat dirinya daripada sudut peribadi.

“Sejambak Bunga bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.

“Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” katanya.

Lebih istimewa, Sejambak Bunga dicipta dan ditulis oleh barisan komposer hebat seperti Hael Husaini bersama Iqie Hugh, sekali gus menjadi kolaborasi pertama Ernie di bawah sentuhan kedua-dua pencipta lagu ternama itu.

Katanya, antara mesej terpenting yang ingin dititipkan menerusi karya ini adalah mengenai kekuatan untuk kekal memilih kebaikan.

“Tidak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik.

“Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” kongsinya.

Mesej murni itu cukup dekat dengan fasa kehidupan Ernie yang bergelar seorang wanita, isteri, ibu serta anak seni.

Bagaimanapun, Ernie tidak mahu Sejambak Bunga hanya dinilai menerusi lensa pengalaman peribadinya semata-mata.

Sebaliknya, dia berharap agar pendengar mampu menghayati dan memberikan tafsiran peribadi terhadap lagu terbabit berdasarkan kisah serta liku hidup masing-masing.

“Saya mahu orang mendengar Sejambak Bunga dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya. Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju.

“Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu cukup bermakna buat saya,” katanya.

Dari aspek visual, penggunaan mawar putih diangkat sebagai simbol utama bagi Sejambak Bunga yang membawa lambang ketenangan, harapan serta sebuah permulaan yang baharu.

“Mawar putih bagi saya membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang.

“Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada apa yang membentuk diri kita hari ini,” katanya.

Menerusi Sejambak Bunga, Ernie membuka satu lagi naskhah bermakna dalam perjalanan seninya untuk berkongsi sisi lebih dekat dengan jiwanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top