KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jepun perlu terus memperkukuh kerjasama ekonomi strategik dalam sektor berimpak tinggi termasuk teknologi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga hijau dan rantaian bekalan bagi memastikan hubungan dua hala kekal relevan dalam menghadapi perubahan ekonomi global.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki berkata, hubungan ekonomi kedua-dua negara mempunyai potensi besar untuk diperluaskan menerusi kerjasama industri, pelaburan dan pembangunan teknologi.
Katanya, keselarasan antara aspirasi pertumbuhan Jepun dengan agenda pembangunan Malaysia membuka ruang lebih luas kepada sektor swasta kedua-dua negara untuk meneroka peluang baharu.
“Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk memperluaskan kerjasama dengan Jepun dalam pelbagai bidang strategik, termasuk kecerdasan buatan, semikonduktor, tenaga dan teknologi hijau,” katanya dalam ucaptama dalam Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2026 di sini semalam.
Menurut beliau, sektor semikonduktor merupakan antara bidang yang mempunyai prospek besar berikutan kedudukan Malaysia sebagai hab penting dalam rantaian bekalan global, khususnya bagi aktiviti pemasangan dan ujian semikonduktor.
Katanya, Jepun pula sedang memperkukuh semula industri semikonduktornya dan melihat Malaysia sebagai rakan strategik dalam pembangunan modal insan serta integrasi rantaian bekalan.
Shikata berkata, kerjasama dalam bidang tenaga turut mempunyai potensi besar, terutama menerusi penggunaan teknologi hijau, hidrogen, ammonia dan penangkapan serta penyimpanan karbon (CCS).
“Kerjasama tersebut boleh menyokong usaha kedua-dua negara mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih selain menjamin keselamatan tenaga pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan kepentingan Malaysia dalam rantaian bekalan gas asli cecair (LNG) Jepun, selain potensi kerjasama dalam industri nadir bumi.
Menurut Shikata, Malaysia kini merupakan pembekal penting LNG kepada Jepun, manakala kerjasama dalam industri nadir bumi boleh menyumbang kepada usaha mempelbagaikan dan mengukuhkan rantaian bekalan strategik.
“Ruang kerjasama juga boleh diperluaskan kepada sektor makanan, keselamatan siber, industri halal, kandungan kreatif, penjagaan kesihatan dan pengurusan bencana,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, hubungan ekonomi Malaysia-Jepun tidak seharusnya hanya tertumpu kepada perdagangan dan pelaburan, sebaliknya perlu turut merangkumi pembangunan teknologi, bakat dan inovasi.
“Dengan menggabungkan kekuatan kedua-dua negara, kita mampu mewujudkan nilai baharu yang memberi manfaat kepada Malaysia dan Jepun.
“Kerjasama berkenaan dilihat selari dengan hubungan strategik komprehensif Malaysia-Jepun yang terus berkembang, termasuk dalam bidang tenaga, teknologi dan pembangunan industri,” katanya.
Pada Mac lalu, Shikata berkata, Malaysia mempunyai potensi tinggi untuk memperluaskan kerjasama dengan Jepun dalam hampir kesemua 17 bidang strategik yang digariskan dalam strategi pertumbuhan kerajaan Jepun.
Shikata berkata, Malaysia dan Jepun mempunyai visi yang hampir selari dalam aspek kelestarian, kemakmuran dan inovasi. –UTUSAN

