Gempa sana sini: Bumi sedang mengamuk?

Gempa sana sini: Bumi sedang mengamuk?

SIRI gempa kuat yang berlaku di seluruh dunia pada tahun ini menimbulkan persoalan: Adakah bumi sedang berdepan ancaman itu yang semakin kerap dan berterusan?

Sejak beberapa bulan lalu, gegaran dahsyat melanda Indonesia, Colombia, Mexico, Filipina dan Venezuela. Rentetan kejadian yang mengakibatkan kemusnahan besar itu mencetuskan kebimbangan bahawa 2026 mungkin menjadi tahun luar biasa aktif dari segi aktiviti seismik. Namun, data yang tersedia menunjukkan gambaran berbeza.

Menurut data Pusat Pemerhati Geologi Amerika Syarikat (USGS), kira-kira 20,000 gempa direkodkan di seluruh dunia pada setiap tahun dengan purata 55 gempa bumi sehari. Namun, sebahagian besar gempa bumi tersebut berintensiti rendah dan tidak menimbulkan kesan yang ketara.

Gempa paling kuat yang direkodkan setakat ini bermagnitud 7.8 di luar pesisir Mindanao, Filipina pada Jun lalu yang turut meragut lebih 100 orang.

Venezuela pula dilanda dua gempa bumi pada bulan yang sama, masing-masing bermagnitud 7.2 dan 7.5, manakala gegaran bermagnitud 7.4 dan ke atas turut direkodkan di Mexico, Colombia dan Indonesia antara Julai hingga awal Ogos.

Gempa sana sini: Bumi sedang mengamuk?

Gempa menggegar Colombia pada 10 Ogos lalu meragut hampir 300 nyawa.

Gempa sana sini: Bumi sedang mengamuk?

Gempa menggegar Colombia pada 10 Ogos lalu meragut hampir 300 nyawa.

Walaupun kejadian gempa bumi itu dilihat berlaku berturut-turut, ahli geologi berpendapat corak semasa masih berada dalam julat normal dan tidak menunjukkan sebarang aktiviti luar biasa.

Ahli geologi, Wendy Bohon berkata, aktiviti seismik yang direkodkan setakat ini masih berada pada tahap normal dari segi statistik.

Secara purata, dunia mengalami sekitar 15 hingga 18 gempa bumi bermagnitud 7.0 hingga 7.9 setiap tahun. Setakat pertengahan Ogos, sebanyak 10 gempa bumi dalam julat magnitud tersebut telah direkodkan, sekali gus menunjukkan jumlah itu masih berada di bawah julat yang dijangkakan.

“Beberapa kejadian gempa menarik perhatian ramai kerana impak kemusnahannya mendapat liputan meluas.

“Kita mungkin merasakan aktiviti seismik menunjukkan peningkatan luar biasa kerana kecenderungan otak kita untuk membuat penilaian atau keputusan mengikut cara kita melihat sesuatu dan bukan berdasarkan fakta sebenar,” jelasnya.

Gempa bumi berlaku apabila plat tektonik iaitu kepingan besar yang membentuk lapisan luar bumi bergerak dan mengalami gelinciran secara tiba-tiba di sepanjang sesar.

Pergerakan itu melepaskan tenaga dalam bentuk gelombang seismik yang menyebabkan permukaan bumi bergoncang.

Sebenarnya, gempa berlaku sepanjang masa di seluruh dunia. Namun, kebanyakannya tidak disedari kerana berlaku di kawasan terpencil atau di dasar laut, jauh daripada kawasan berpenduduk. Sebaliknya, gegaran yang berlaku berhampiran kawasan padat penduduk lebih mudah dirasai dan mendapat perhatian kerana kesannya lebih ketara.

Lingkaran Api Pasifik merupakan zon paling aktif dari segi seismik di dunia dan menyumbang kira-kira 90 peratus daripada kejadian gempa bumi.

Ia membentang dari pantai barat benua Amerika ke Timur Jauh Rusia merentasi Asia Tenggara hingga ke New Zealand.

Sebahagian daripada lebih 59,600 penduduk terjejas gempa di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT) di Indonesia yang terpaksa meninggalkan kediaman dan berlindung di khemah serta penempatan sementara.

Sebahagian daripada lebih 59,600 penduduk terjejas gempa di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT) di Indonesia yang terpaksa meninggalkan kediaman dan berlindung di khemah serta penempatan sementara.

Indonesia, Jepun dan Filipina yang sering dilanda gempa kuat merupakan antara negara yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

Satu lagi zon seismik aktif ialah Lingkaran Alpide, dari Jawa merentasi Himalaya hingga ke Turkiye dan kawasan Mediterranean. – Agensi

Info

>Gempa paling kuat direkodkan adalah berkekuatan 9.5 sekala Richter yang menggegar Valdivia, Chile pada 22 Mei 1960. Ia kemudiannya mencetuskan tsunami yang merentasi Lautan Pasifik.

>Gegaran kedua paling kuat pula ialah gempa bermagnitud 9.2 yang melanda Alaska pada 1964.

>Gempa Sumatera pada 2004 pula dianggarkan bermagnitud 9.1 hingga 9.3. Gegaran dahsyat itu menghasilkan gelombang tsunami Lautan Hindi yang melanda beberapa negara dan mengorbankan kira-kira 228,000 orang.

Scroll to Top