Cipta nama di DARAH, Riyadh

zatuliffa@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelantikan sebagai Penyelidik Tamu di King Abdulaziz Foundation for Research and Archives (DARAH), Riyadh, Arab Sudi menjadi pencapaian membanggakan buat Profesor Madya Dr Riswadi Azmi apabila diberi kepercayaan menjalankan kajian di institusi berprestij itu.

Lebih membanggakan, anak jati Terengganu itu menjadi penyelidik pertama dari Asia Tenggara dilantik sebagai Penyelidik Tamu di DARAH, sekali gus membawa nama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Malaysia ke pentas dunia.

Dr Riswadi juga pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan UMT kini berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Ihsan UMT dengan kepakaran penyelidikan tertumpu kepada manuskrip al-Quran Diraja Terengganu.

Katanya, kepercayaan diberikan itu disambut dengan penuh kesyukuran, namun pada masa sama hadir bersama tanggungjawab besar untuk menjaga nama negara serta menghasilkan kajian yang memberi impak kepada masyarakat dan dunia akademik.

“Saya bersyukur, tetapi pada masa sama menyedari besarnya tanggungjawab yang perlu digalas untuk menjaga nama negara dan menghasilkan kajian yang berimpak,” katanya.

Menurutnya, pelantikan itu bukan sahaja satu penghormatan kepada dirinya malah turut mencerminkan pengiktirafan terhadap UMT dan Malaysia dalam bidang penyelidikan warisan Islam.

“Saya membawa amanah untuk mempamerkan kepada dunia warisan keilmuan yang ditinggalkan oleh para sarjana terdahulu dalam membina peradaban Islam di rantau ini,” katanya.

Sepanjang tempoh tiga bulan itu, Dr Riswadi diberikan akses kepada bahan nadir dan amat bernilai yang tersimpan di DARAH selain berpeluang menjalankan penyelidikan bersama penyelidik dari Australia dan Jerman.

Beliau memberi tumpuan kepada 54 manuskrip al-Quran dalam koleksi DARAH khususnya daripada aspek iluminasi, kaligrafi, kodikologi dan teks sebelum membuat perbandingan dengan tradisi penyalinan al-Quran di Asia Tenggara.

“Kajian ini turut membabitkan perbandingan manuskrip berkenaan dengan tradisi penyalinan al-Quran di Asia Tenggara khususnya Manuskrip al-Quran Diraja Terengganu bagi meneliti hubungan dan pengaruh antara tradisi penyalinan al-Quran di dunia Arab dengan perkembangannya di rantau ini,” katanya.

Dr Riswadi berkata, peluang menjalankan kajian di institusi menyimpan ratusan ribu bahan berkaitan sejarah Arab Saudi, dunia Arab dan dunia Islam itu amat berharga dalam memperkaya penyelidikan serta membina jaringan antarabangsa.

Katanya, pengalaman itu diharap membolehkan hasil penyelidikan di Riyadh dibawa pulang dan dimanfaatkan untuk kepentingan negara khususnya usaha memahami serta memelihara warisan keilmuan tempatan.

Sebelum ini, beliau memainkan peranan penting dalam pencalonan Manuskrip al-Quran Diraja Terengganu sebagai Warisan Kebangsaan selain mengetuai Jawatankuasa Saintifik bagi pengiktirafan manuskrip berkenaan di bawah Program Memory of the World UNESCO.

Beliau mengetuai penyelidikan Warkah Diraja Terengganu serta koleksi foto bersejarah merakamkan hubungan kesultanan Melayu dengan Siam dalam koleksi Arkib Negara Thailand.

Sehingga kini, Dr Riswadi sudah hasilkan lebih 50 penerbitan ilmiah manakala kepakaran mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pelantikan penasihat dan ahli editorial jurnal ilmiah di Brunei dan Indonesia selain menjadi ahli persatuan akademik di Amerika Syarikat, Australia dan Britain.

Dr Riswadi berkata, kemerdekaan menjadi sumber inspirasi perjalanan hidup dan kerjaya kerana kebebasan dinikmati rakyat Malaysia membuka peluang mendapatkan pendidikan serta membina kepakaran berlandaskan budaya, adat dan kerangka negara sendiri.

“Kemerdekaan memberikan keyakinan kepada saya anak Malaysia mampu kembang ilmu dan berdiri setanding sarjana antarabangsa tanpa perlu meninggalkan jati diri serta akar bangsa,” katanya.

Beliau berpandangan kemerdekaan hakiki bukan sekadar bebas daripada penjajahan sebaliknya turut merangkumi kebebasan minda untuk menilai baik dan buruk, mempertahankan identiti serta jati diri bangsa dan tidak hanya mengikut rentak majoriti.

Katanya, sarjana terdahulu membuktikan bahawa minda yang merdeka mampu melahirkan ilmu bernilai, mengekalkan identiti dan nilai watan serta menghasilkan khazanah yang memberi manfaat kepada masyarakat untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top