am@hmetro.com.my
Melaka: Tiga pelajar sekolah maut termasuk seorang putus kaki, manakala seorang lelaki cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tambak Paya, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian yang berlaku jam 4.02 pagi mengakibatkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun serta seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurutnya, kemalangan yang membabitkan tiga motosikal itu turut mengakibatkan seorang pemuda berumur 18 tahun menerima rawatan di zon merah kerana mengalami cedera parah di kepala, kaki, dan tangan.
Katanya, hasil siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa berumur 18 tahun yang menunggang Yamaha Y16 dan pelajar lelaki berusia 15 tahun yang menunggang Yamaha 15 ZR, dalam perjalanan dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua.
“Setiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha 15 ZR yang ditunggang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan membonceng pelajar perempuan juga berumur 16 tahun dari arah Tiang Dua ke Bukit Katil bertembung dengan kedua-dua motosikal itu.
“Akibat rempuhan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki terbabit mengalami cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka, dan mangsa yang cedera parah dirawat di zon merah hospital yang sama.
“Semua kenderaan yang terbabit kemalangan ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 9187),” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan tular gambar yang memaparkan keadaan mangsa yang tercampak di jalan akibat kemalangan itu, selain motosikal yang dinaiki mereka dilaporkan remuk teruk dalam kejadian itu.
Menurut sumber, ketiga-tiga mangsa yang menunggang motosikal, termasuk seorang remaja perempuan, dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



