Trump tak akan hadir aksi AS-Belgium

Trump tak akan hadir aksi AS-Belgium

Seattle: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak akan menghadiri perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia antara AS dan Belgium di Stadium Seattle, Selasa ini.

Perkara itu disahkan seorang jurucakap King County yang memaklumkan pihaknya sudah dimaklumkan bahawa sama ada Trump mahupun Naib Presiden, JD Vance tidak akan hadir ke perlawanan berkenaan.

Skuad kebangsaan AS mara ke perlawanan itu selepas menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0, semalam, hanya beberapa jam selepas Belgium mencipta kebangkitan dramatik menewaskan Senegal 3-2 selepas masa tambahan.

Trump sebelum ini beberapa kali menghadiri acara sukan besar ketika memegang jawatan, termasuk perlawanan ketiga Final NBA bulan lalu.

Sebelum ini, Kenmore Air memaklumkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sudah memberi notis awal mengenai kemungkinan kehadiran presiden pada perlawanan itu, yang boleh memberi kesan kepada operasi penerbangan tempatan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Trump setakat ini belum menghadiri mana-mana perlawanan Piala Dunia, walaupun beberapa anggota kabinet hadir ke beberapa aksi termasuk Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat, Robert F Kennedy Jr dan Setiausaha Tenaga, Chris Wright ketika perlawanan menentang Australia di Seattle pada 19 Jun.

Presiden FIFA, Gianni Infantino pula dilaporkan hadir ke beberapa perlawanan peringkat kumpulan di Seattle.

Menurut laporan Seattle Times, Trump dan Vance juga tidak pernah mengunjungi Seattle dalam kapasiti rasmi sebagai Presiden atau Naib Presiden.

Stadium Seattle sebelum ini menjadi venue empat perlawanan peringkat kumpulan, termasuk aksi Belgium menentang Mesir serta kemenangan AS ke atas Australia.

Perlawanan Belgium menewaskan Senegal juga berlangsung di stadium sama, manakala Belgium menjadikan kawasan berdekatan sebagai kem latihan mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top