Endrick sedia galas peranan baharu bantu Brazil jinakkan Norway

Endrick sedia galas peranan baharu bantu Brazil jinakkan Norway

NEW JERSEY: Penyerang muda Brazil, Endrick menegaskan kesediaannya untuk beraksi di beberapa posisi sekiranya diperlukan jurulatih, Carlo Ancelotti menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Norway, Ahad ini.

Pemain Real Madrid berusia 19 tahun itu dilihat sebagai calon utama untuk menggantikan Lucas Paqueta yang mengalami kecederaan hamstring ketika kemenangan 2-1 Brazil ke atas Jepun pada perlawanan sebelum ini.

Ketiadaan Paqueta dijangka memaksa Ancelotti melakukan rombakan terhadap sistem tiga pemain tengah yang digunakan sepanjang kejohanan, namun pengendali dari Itali itu sebelum ini memberi bayangan bahawa dia bersedia melakukan perubahan mengikut keperluan.

Menurut Endrick, pengalaman beraksi di beberapa posisi ketika dipinjamkan ke Lyon musim lalu memberinya kelebihan untuk menyesuaikan diri dengan sebarang taktikal yang diterapkan.

“Di Lyon, saya bermain sebagai penyerang utama, di sayap kanan dan juga sebagai penyerang. Jurulatih mengetahui kekuatan serta karakter permainan saya kerana kami pernah bersama di Real Madrid.

“Di sini juga mereka tahu bagaimana saya boleh membantu pasukan,” katanya.

Endrick dimasukkan pada separuh masa kedua bagi menggantikan Paqueta ketika menentang Jepun, dengan Brazil menamatkan perlawanan menggunakan empat pemain serangan dan dua pemain tengah.

Pendekatan lebih agresif itu berkemungkinan diulangi ketika menentang Norway yang diketuai Erling Haaland sekiranya Ancelotti memilih untuk memburu kemenangan sejak awal permainan.

Mengulas mengenai pengendalinya, Endrick menyifatkan Ancelotti sebagai jurulatih yang berani membuat keputusan dan sentiasa yakin dengan perancangannya.

“Dia tidak pernah takut membuat keputusan. Apa yang dirancang selalunya menjadi kenyataan. Kami semua percaya kepada perancangan jurulatih dan akan terus mengikut segala arahannya,” katanya.

Brazil bagaimanapun perlu berwaspada kerana Norway mempunyai rekod cemerlang apabila tidak pernah tewas dalam empat pertemuan menentang skuad Selecao, dengan mencatat dua kemenangan dan dua keputusan seri, termasuk kemenangan 2-1 pada peringkat kumpulan Piala Dunia 1998.

Mengulas aksi di Stadium MetLife, Endrick mengingatkan rakan sepasukan supaya kekal tenang jika berdepan situasi sukar kerana saingan kalah mati tidak memberi peluang kedua.

“Walaupun kami ketinggalan, kami perlu kekal tenang seperti ketika menentang Jepun. Kami harus terus berjuang sehingga wisel penamat kerana ini adalah aksi kalah mati dan kami perlu memastikan kemenangan menjadi milik Brazil,” katanya. – AFP

Scroll to Top