Jangan pandang rendah artis lama – Shima

Jangan pandang rendah artis lama – Shima

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shima, 56, memaklumkan dia tidak akan bertolak ansur dengan penganjur yang menawarkan kadar bayaran tidak munasabah apabila meminta penyanyi lama membuat persembahan.

Penyanyi bertaraf legenda itu berkata layanan sedemikian sepatutnya tidak dibolehkan dan menunjukkan penganjur jenis itu sebenarnya memandang rendah kepada penyanyi lama.

“Masih ada yang tawarkan bayaran tidak munasabah termasuk yang minta saya nyanyikan banyak lagu tetapi hanya mampu bayar RM1500.

“Saya tolak cara baik. Ini bukan lagi awal zaman 90-an mereka nak bayar kadar macam itu. Kita sudah masuk 2026. Janganlah pandang rendah kepada artis lama.

“Kalau mereka letak bayaran seperti harga persembahan funfair, saya tidak akan terima. Ia benar-benar tak berbaloi sebab penyanyi juga menanggung kos seperti bayaran jurusolek dan menyewa baju untuk persembahan,” katanya.

Shima ditemui sempena Majlis Berbuka Puasa dan Sidang Media Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 di Saloma Bistro Kuala Lumpur.

Penyanyi yang popular dengan lagu Teringin itu mengakui amat terkilan dengan penganjur yang bersikap tidak adil kepada artis lama.

“Isu artis lama dipandang sebelah mata ini sudah lama berlaku, sejak era 80-an lagi.

“Sebenarnya kita tidak boleh samakan keadaan kita dengan industri seni di Amerika Syarikat dimana nilai artis meningkat berdasarkan pertambahan usia.

“Sebab itu saya bersikap realistik terhadap isu ini. Cara pemikiran juga lain. Kita tidak boleh samakan layanan kepada artis lama di negara Asia dengan negara-negara Barat, memang berbeza,” kongsinya. – UTUSAN

Scroll to Top