
Kira-kira 15 kenderaan berhampiran tapak kejadian mengalami kerosakan atau musnah. Foto Agensi
RIO DE JANEIRO – Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban apabila sebuah pesawat Tentera Udara Bolivia terbabas dari landasan dan melanggar beberapa kenderaan semasa mendarat, menurut media tempatan pada Jumaat yang memetik pihak bomba, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Puluhan mangsa lain cedera dan telah dibawa ke hospital.
Laporan awal menyatakan kira-kira 15 kenderaan berhampiran tapak kejadian mengalami kerosakan atau musnah.
“Antara kenderaan yang terjejas adalah bas mini, kereta persendirian dan juga sebuah lori treler yang dirempuh semasa pesawat itu terbabas.
“Beberapa kenderaan hancur menjadi timbunan besi buruk dan terdapat mayat di bawah serpihan itu,” kata pengarah bomba Bolivia Pavel Tovar, menurut portal berita La Razon.
Beliau tidak menolak kemungkinan angka kematian boleh meningkat. Punca kejadian masih belum diketahui.
Pesawat itu dilaporkan membawa wang tunai. Orang ramai berkumpul di tempat kejadian dan cuba merampas wang kertas tersebut.
Pihak berkuasa menggunakan air dan bahan kimia untuk menyuraikan orang ramai dan mengembalikan kawalan. – Bernama-dpa
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban dalam insiden pesawat tentera Udara Bolivia terbabas dari landasan
- Puluhan mangsa lain cedera dan dibawa ke hospital
- Kira-kira 15 kenderaan berhampiran tapak kejadian rosak atau musnah
- Pesawat yang terbabas itu melanggar bas mini, kereta persendirian dan lori treler
- Pesawat tersebut dikatakan membawa wang tunai yang mencetuskan kekecohan apabila orang ramai cuba untuk merampasnya


